Jumlah pembabitan golongan belia dalam sektor pertanian membimbangkan, sekali gus boleh memberi kesan terhadap bidang pertanian negara terutama kepada penghasilan stok bekalan makanan pada masa depan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada kira-kira 800,000 petani di seluruh negara, penglibatan golongan belia dalam sektor itu amat sedikit iaitu hanya sekitar 15 peratus sahaja.
Sehubungan itu, katanya, jika isu tersebut tidak diatasi segera, keadaan itu bukan sahaja bakal menjejaskan pengeluaran hasil pertanian negara, malah menyebabkan Malaysia terus bergantung kepada hasil pertanian yang diimport.
Situasi tersebut jelas menunjukkan golongan belia di negara ini tidak berminat dengan sektor pertanian dan lebih cenderung untuk menceburi dalam bidang lain yang difikirkan lebih berkembang maju berbanding pertanian,'' katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian.
Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah.
Menurut Ismail Sabri, untuk mengatasi masalah berkenaan, kementeriannya telah mengambil beberapa langkah drastik termasuk memperkenal program usahawan tani muda, khusus untuk golongan belia di negara ini.