Nampaknya niat murni Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang menggesa peniaga menurunkan harga barang baru-baru ini turut mendapat perhatian daripada mahasiswa IPT yang turut memberi sokongan jitu kepada Dato Sri Ismail Sabri. Ini dibuktikan dengan kehadiran puluhan wakil kepimpinan mahasiswa daripada IPT tempatan dan juga pelajar yang belajar di luar negara.
Malam ini dapat dilihat begitu ramai kepimpinan mahasiswa hadir ke program khas mahasiswa bersama Menteri Pertanian yang mendapatkan penjelasan secara bersemuka sendiri dengan Dato' Ismail Sabri yang menjelaskan secara terperinci mengenai isu kenyataan beliau yang viral di laman sosial baru-baru ini. Dengan adanya penjelasan dan penerangan secara langsung ini dapat memberi penjelasan mengenai situasi sebenar yang berlaku terutama isu penurunan barangan oleh peniaga. Soal jawab juga diadakan antara Dato' Ismail Sabri bagi menjawab persoalan mahasiswa tentang kempen menurunkan harga barang selaras dengan penurunan harga minyak negara dan juga global.
Dalam pertemuan ini juga Menteri Pertanian menerima input dari akar umbi dan rakyat terutama dari perspektif pelajar IPT dan pemimpin mahasiswa yang sudah pasti terkesan dengan soal turun naik harga minyak ini. Rata-rata mereka yang hadir berasa puas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Menteri Pertanian ini disamping turut melahirkan minat untuk bersama kerajaan bagi membantu pihak kerajaan dalam soal menurunkan harga barang.
Adalah diharapkan agar Menteri Pertanian meneruskan usaha murni ini dan diperluaskan lagi program ini kepada kelompok-kelompok masyarakat lain dalam negara agar mereka lebih jelas dan lebih memahami isu ini berbanding dengan hanya mendapatkan info yang kurang tepat di media sosial yang kebanyakannya cuba diputar-belitkan oleh pemimpin pembangkang dan macai-macai mereka.