Sunday, 20 November 2011

Panas!!!! 5 Gadis Melayu Tetap Mahu Sertai Miss Borneo....

Kurang 12 jam acara kemuncak Miss Borneo 2011 di sini malam ini, lima peserta pertandingan ratu cantik itu yang beragama Islam dipanggil memberi penjelasan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) hari ini.

Mereka dikatakan berpakaian menjolok mata dalam gambar promosi acara itu yang disiarkan sebuah akhbar tempatan sejak minggu lalu sehingga menimbulkan perasaan kurang senang umat Islam di negeri ini.

Sehubungan itu, mereka diberi peluang membuat penjelasan terhadap penglibatan masing-masing dalam pertandingan tersebut sebelum diberi kaunseling oleh pegawai JAIS.

Peserta yang terlibat dikenali sebagai Melatie Mellisa, 22, Adira Kamil, 23, Sharifah Nadzirah, 23, Roszaina Suhaili, 21, dan Natasha Nur Amarina, 21.

Pengarah JAIS, Abang Shamsuddin Abang Seruji berkata, pihaknya memandang serius perkara itu apabila menerima banyak aduan masyarakat yang mahu pertandingan tersebut dipantau kerana dikatakan mengetepikan sensitiviti umat Islam.

Bagaimanapun, katanya, tindakan JAIS memanggil lima peserta itu bukanlah bertujuan menghukum, sebaliknya ingin berdialog termasuk mendengar penjelasan mereka.

"Di samping itu, kita turut memberi nasihat kepada mereka tentang keperluan menutup aurat dan menjaga kehormatan diri sebagai seorang wanita muslim.

"Kita juga menasihatkan mereka supaya menarik diri kerana walau apa pun alasannya, memperagakan diri kepada umum adalah haram.

"Namun, kita tidak paksa, jadi terpulang kepada diri masing-masing," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ditanya mengenai penyertaan gadis beragama Islam di negeri ini dalam pertandingan ratu cantik yang semakin meningkat, Abang Shamsudin berkata, pihaknya akan cuba menangani isu tersebut menggunakan pendekatan lembut dan berhemah.

Sementara itu, salah seorang peserta, Melatie Melissa berkata, penyertaannya dalam pertandingan tersebut sekadar untuk membina keyakinan berdepan dengan orang ramai, di samping membentuk disiplin dan penampilan diri.

"Sepanjang latihan berlangsung, penganjur menghormati peserta yang beragama Islam dan tidak pernah memaksa kami memakai pakaian menjolok mata serta melayani mana-mana tetamu VIP," katanya.

Sementara itu, wakil penganjur program, Alaric Soh mendakwa, pertandingan ratu cantik tersebut tidak mensyaratkan peserta beragama Islam beraksi dengan pakaian mandi seperti pertandingan sama di negara lain.

"Pakaian lain juga tidak seksi atau mendedahkan aurat kerana kita sentiasa menjaga sensitiviti dan menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara ini," katanya.

2 comments:

  1. "Pakaian lain juga tidak seksi atau mendedahkan aurat kerana kita sentiasa menjaga sensitiviti dan menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara ini," katanya.

    aihhh...nampak sgt basic agama islam pon tak tauu..klu rambut pon x tutup, x menutup aurat jugala tuu...lagi la baju yg nampak belakang, betis, peha....Ya Allah ampun kan lah dosa-dosa kamii, x mampu menanggung azabMu ya Allah...pemerintah Malaysia, tolonglah lakukan SESUATUUU

    ReplyDelete
  2. Jangan salahkan mereka per se. Saya mengenali ramai gadis Sabah dan Sarawak. Mereka perlu lebih banyak panduan dan bimbingan tentang agama Islam. Menyalahkan mereka tidak akan membawa mereka ke mana2 selain mendorong mereka terus hanyut. Mereka cantik, glamour, inginkan kemenangan dan wang. Jika itu dapat anda berikan kepada mereka tanpa melalui pertandingan Ratu Cantik, saya kira mereka bersedia. Mereka ingin penghidupan yang lebih baik. Jika anda dpt memberikannya mereka akan menerimanya, dan melupakan Ratu Cantik

    ReplyDelete