Wednesday, 9 November 2011
PRU13 Dugaan Buat Khalid Ibrahim
SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor iaitu mesyuarat ketika penggal keempat membuka tirainya hari ini. Sidang akan berlangsung hingga 18 November ini.
Bagi pemerhati politik, ini merupakan sidang DUN yang begitu penting sama ada di pihak kerajaan negeri yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP serta Pas manakala Barisan Nasional (BN) sebagai pembangkang.
Ini kerana sidang DUN kali ini diadakan ketika gendang Pilihan Raya Umum (PRU) semakin kuat dipalu. Ada yang menyatakan mungkin ini adalah sidang terakhir sekiranya pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memilih untuk membubarkan Parlimen sebelum Mac tahun depan.
Bagaimanapun tidak dipastikan sama ada pakatan PKR, DAP dan Pas akan turut serta membubarkan DUN atau mahu terus menunggu mandat tamat pada 2013.
Setelah Kerajaan Pusat membentangkan bajetnya yang dilihat memberi pukulan kepada parti-parti pembangkang, kini giliran kerajaan negeri pula akan membentang bajetnya.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah pasti menghadapi laluan sukar kerana pasti banyak perkara yang perlu ditawarkan kepada rakyat terutama dari sudut kebajikan.
Beliau pasti terbeban dengan tuduhan-tuduhan negatif penyokong parti dan sekutunya yang menganggap Bajet 2012 adalah gula-gula politik sedangkan Abdul Khalid pula mahu menawarkan apa ketika rakyat menanti-nanti imbuhan daripada kerajaan PKR, DAP dan Pas.
Abdul Khalid sudah pasti akan memastikan bajetnya tersebut memberi impak positif menjelang PRU-13 termasuk menjamin populariti kepimpinannya tidak merudum.
Ini kerana Menteri Besar itu sedar beliau hanya mempunyai cengkaman pentadbiran sahaja tetapi cengkaman dan penguasaan politik dibayangi oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
Belum tentu beliau akan terus kekal menerajui negeri ini sekiranya PKR berjaya mengekalkan kerusi yang banyak pada PRU akan datang kerana Pas dan DAP juga sudah pasti mengintai tempat kerusi panas Menteri Besar.
Bajet kali ini menjadi tapak ujian pada Abdul Khalid untuk memastikan ekonomi Selangor akan terus mantap. Beliau turut menghadapi masalah besar sekiranya pertumbuhan ekonomi Selangor tidak mantap selain prestasi anak-anak syarikat terus merudum.
Apatah lagi tahun depan dikatakan kerajaan negeri mahu memperkenalkan skim gaji minimum yang acap kali mereka laung-laungkan sebagai modal politik dan pilihan raya. Kalau prestasi ekonomi tidak mantap bagaimana mereka mahu melaksanakan skim tersebut.
Justeru, menjadi tugas besar BN selaku pembangkang di negeri ini untuk melakukan proses 'semak dan imbang' terhadap pelbagai janji-janji pilihan raya umum 2008 setelah genap tiga tahun tujuh bulan tempoh pentadbiran pakatan PKR, DAP dan Pas di negeri ini selain strategi bajet mereka sejak 2009 iaitu Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), Negeri Maju Rakyat Sejahtera (2010) dan Hasil Negeri Untuk Rakyat (2011).
Isu-isu yang berlaku sepanjang tempoh tersebut akan memberikan impak kepada setinggi mana tahap kepercayaan rakyat kepada kerajaan parti pembangkang di Selangor berdasarkan bidang-bidang tumpuan yang diberikan iaitu dari segi kredibiliti, efektif, keberkesanan dan tadbir urus.
Sebenarnya memang mudah membuat pelbagai janji yang manis-manis tetapi apabila sudah mendapat tampuk kuasa dan menghadapi realiti politik dan masalah akar umbi ia tidak semudah dijangkakan.
BN yang mendapat suntikan daripada Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang beberapa kali melengkapkan pusingan program turun padang ke negeri selain pukulan Bajet 2012 yang sekali gus menenggelamkan sinar 'Buku Jingga' harus mengambil peluang ini untuk menampilkan perdebatan yang berkualiti dalam sidang kali ini bagi mendedahkan kepincangan pentadbiran kerajaan negeri di bawah teraju PKR, DAP dan Pas.
Isu terbaru berkaitan laporan Ketua Audit Negara 2010 dijangka menjadi topik hangat. Jangan pembangkang hanya menghalakan peluru bagi memburukkan Kerajaan Pusat dengan bermodalkan laporan audit tersebut sedangkan kerajaan negeri juga perlu melihat kepincangan yang didedahkan dalam laporan yang sama.
Jangan menjadi paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.
Ini termasuk membabitkan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Bhd. (KDEB). Pengauditan yang dijalankan antara Ogos hingga Disember 2010 mendapati secara keseluruhannya prestasi kewangan KDEB adalah tidak memuaskan kerana terdapat kerugian sebelum cukai pada 2009 berjumlah RM122.25 juta berbanding keuntungan sebelum cukai pada 2008 berjumlah RM34.45 juta.
Pengurusan aktiviti utama KDEB dan prestasi kewangan tiga syarikat subsidiari KDEB juga tidak memuaskan pada 2009 yang mana terdapat kerugian selepas cukai berjumlah antara RM1.08 juta hingga RM139.23 juta.
Menurut laporan itu lagi, selain itu, terdapat beberapa kelemahan tadbir urus korporat seperti mesyuarat Lembaga Pengarah yang tidak diadakan mengikut kekerapan, Audit Dalaman tidak ditubuhkan dan Jawatankuasa Audit dan Pemeriksaan yang tidak berfungsi. KDEB juga, jelas laporan itu, tidak membayar dividen kepada kerajaan negeri.
Kerajaan memberikan alasan bahawa program pemberian air percuma 20 meter padu tidak mempunyai kaitan dengan kerugian KDEB. Namun setakat ini tiada sebarang sebab pula diberikan tentang faktor kerugian kalau bukan sebab air. Adakah faktor ketidakcekapan pengurusan baru KDEB?
Kerana berdasarkan perjanjian dengan kerajaan negeri pada September 2008, KDEB telah diberikan pinjaman RM200 juta dengan faedah empat peratus setahun.
Difahamkan kerugian KDEB pada 2009 kerana menanggung kos program air percuma bernilai RM131.47 juta di samping perbelanjaan penajaan gaji Persatuan Bola Sepak Selangor sebanyak RM4.1 juta sedangkan kedua-duanya bukan aktiviti KDEB.
Program air percuma sepatutnya perlu diperjelaskan oleh Perbendaharaan Negeri Selangor. Pinjaman KDEB daripada kerajaan negeri adalah tidak wajar kerana syarikat tersebut perlu berhutang. Namun demi janji PRU-12, kerajaan negeri terpaksa meneruskan program air percuma meskipun tidak mampu dalam tempoh jangka panjang. Akhirnya KDEB tidak dapat bertahan dan pembayaran perlu diberhentikan. Kalau tidak anak syarikat kerajaan negeri itu akan terus mengalami kerugian.
Pendedahan Laporan Audit Negara terhadap anak syarikat kerajaan negeri, Woldwide Holdings Bhd., PKPS Agro Industries dan Tourism Selangor Sdn. Bhd. juga memerlukan satu bedah siasat secara terbuka dalam sidang kali ini.
Selain itu, kepimpinan Abdul Khalid juga tidak dapat lari daripada kepincangan yang pernah didedahkan sendiri oleh laporan audit dalaman kerajaan negeri berkaitan Yayasan Selangor dan juga kemelut yang menimpa Universiti Selangor (Unisel).
Isu-isu melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar termasuk melibatkan pelantikan pasukan penasihat dan perunding luar dengan gaji lumayan hingga mengetepikan kemampuan pegawai sedia ada.
Soal pengurusan hasil pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. juga sebenarnya masih menjadi tanya tanya. Sedangkan rakyat ingin tahu sejauh mana kebenaran hasil pasir yang dilombong secara agresif itu benar-benar masuk ke kantung rakyat. Ini kerana membincangkannya pada masa ini menjadi sub judice sementalah ia masih dalam pendengaran Jawatankuasa SELCAT.
Mungkin dalam sidang DUN kali wakil-wakil rakyat BN akan menimbulkan kembali isu pasir. Seharusnya kerajaan negeri bersikap telus sejajar dengan Enakmen Kebebasan Maklumat yang telah diluluskan pada tahun lalu. Diharapkan persidangan kali ini tiada wakil rakyat yang terpaksa diarahkan keluar dewan persidangan sekiranya perdebatan menjadi hangat.
Dari segi program pembasmian kemiskinan pula, langkah kerajaan negeri menaikkan paras pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kepada RM1,500 sebulan membuatkan kadar kemiskinan rakyat negeri ini berada pada paras 30 peratus iaitu melibatkan kira-kira 1.56 juta orang daripada keseluruhan 5.2 juta rakyat negeri ini. Selama tiga tahun tujuh bulan berapa peratuskah kadar itu dapat diturunkan?
Soalnya setakat ini tidak kelihatan lagi program pembasmian secara agresif dilakukan sama ada di bandar atau luar bandar selain jumlah rumah kos rendah yang dibina terlalu jauh daripada mencukupi.
Rakyat juga sering gusar dengan suasana politik di negeri yang dirasakan tidak selesa. Banyak isu sebenarnya dicipta oleh sikap kepimpinan parti-parti pembangkang tetapi sering kali BN dan UMNO yang menjadi kambing hitam.
Tiga parti yang berlainan ideologi selain mempunyai kepentingan berbeza meliputi agama, bahasa, budaya dan kepentingan etnik - menyebabkan banyak isu yang dibangkit hingga menjadikan suasana negeri ini tidak tenteram.
Bermula isu penjualan arak, isu kalimah Allah, bercambahnya hotel-hotel bajet, isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dan pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah premis yang didakwa sebuah gereja di Petaling Jaya dan akhirnya momokan terhadap Perhimpunan Selamatkan Akidah di Stadium Shah Alam. Kesemuanya menyaksikan pelbagai percanggahan di kalangan rakan-rakan dalam barisan Exco.
Sampai sekarang Abdul Khalid tidak berani mendedahkan apakah status premis Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) yang membuatkan JAIS telah dihentam kiri dan kanan.
Dalam konteks Bajet 2012, rakyat sedang menunggu sejauh semua realistiknya tawaran-tawaran yang ingin diberikan oleh Abdul Khalid. Sebab itu pentingnya rakyat menilai sejauh mana janji-janji yang dahulu terlaksana sebelum janji-janji baru ditaburkan kerana ini mungkin juga merupakan bajet pilihan raya bagi parti-parti pembangkang.
Kerajaan negeri juga perlu memastikan selepas bajet ini diluluskan, tiada permohonan peruntukan tambahan yang terlalu tinggi. Jika tidak strategi pengurusan perbelanjaan cekap dilaung-laungkan oleh kerajaan negeri bakal menjadi retorik semata-mata.
Ingatlah rakyat sudah semakin sedar dan celik jika terdapat sebarang pembohongan dan tipu daya. Tunggu saja PRU-13.
No comments:
Post a Comment