Wednesday, 14 December 2011

BN Diramal Mampu Menang Selesa Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 13

Barisan Nasional (BN) diyakini mampu mencapai kemenangan selesa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berikutan peningkatan momentum sokongan rakyat terhadap kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak yang disifatkan sebagai pendekatan berkesan.

Penganalisis politik berpendapat majoriti rakyat gembira dengan pelaksanaan dasar konsisten oleh Perdana Menteri, terutama komitmen serta kesungguhan Najib memfokuskan kepada usaha transformasi kerajaan, ekonomi dan politik.

Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Shamsul Adabi Mamat, berkata beliau yakin BN berupaya memenangi majoriti selesa pada PRU-13 berdasarkan senario pentadbiran negara.
“Momentum sokongan rakyat kepada BN sudah meningkat sejak dua tahun kebelakangan ini, terutama apabila Najib mengambil alih teraju kepemimpinan negara.

“Perdana Menteri berjaya memulihkan semula keyakinan rakyat kepada kerajaan melalui pelaksanaan dasar konsisten serta memberi hasil yang memanfaatkan segenap lapisan masyarakat.


“Majoriti rakyat gembira dengan usaha dilaksanakan kerajaan, malah pelbagai kaji selidik membuktikan peningkatan sokongan mereka terhadap BN. Manakala serangan pakatan pembangkang terhadap BN pula hanya banyak mengulangi isu sama, di samping berlaku ketidakstabilan dalam parti mereka sendiri.

“Oleh itu, BN kini perlu fokus kepada usaha memenangi majoriti dua pertiga dengan menyerlahkan kemantapan serta kekuatan parti kerana kestabilan yang kukuh akan mempengaruhi pengundi protes dan pengundi terapung untuk turut menyokong,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Akhbar semalam melaporkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata BN berada dalam kedudukan baik untuk memenangi PRU-13 yang mungkin diadakan awal tahun depan.

Justeru, Shamsul Adabi menyifatkan kenyataan Dr Mahathir itu ada kebenarannya, tambahan pula secara lazim rakyat akan memberi peluang kepada Perdana Menteri yang menghadapi PRU pertama, apatah lagi jika kepemimpinan beliau berjaya membuahkan hasil memberangsangkan.

“Paling penting, jangan sesekali cuba mensabotaj parti. Semua ahli mesti ingat bahawa PRU kali ini agak rumit kerana dalam politik, sebarang kemungkinan boleh berlaku jika tersilap perkiraan atau percaturan.

“Orang UMNO juga mesti ingat bahawa baiah mereka pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini tidak boleh dipandang remeh dan juga bukan suatu perkara main-main tetapi berasaskan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, bagaimanapun mengingatkan BN supaya tidak mudah teruja dan terlalu berkeyakinan dalam mengukur saingan pakatan pembangkang pada PRU-13.

“Pakatan pembangkang juga menyusun strategi dan ‘winnable candidate’ mereka untuk menghadapi PRU kali ini.

“Justeru, saya berpendapat keputusan PRU-13 sukar dijangka kerana ia sengit dan boleh disifatkan sebagai ibu segala pilihan raya,” katanya.

1 comment:

  1. BN akan menang PRU13. Yang penting perlu majoriti 2/3 dan perlu menang Perak. Kalau tidak kemenangan kurang bermakna. Sebagai rakyat Perak, teman nengok kerajaan BN Perak makin bersih, cuma taklah sepopular zaman TS Ramli dulu. Adun kena lebih banyak jenguk ke rumah2 rakyat. Janganlah bersengketa sesama sendiri

    ReplyDelete