Walaupun usia sudah mencecah 66 tahun dan bergelar nenek, seorang ahli perniagaan wanita yang kaya-raya di Indonesia sanggup terbang jauh ke Malaysia semata-mata ingin bertemu kekasih siber bergelar 'Datuk' yang melamarnya untuk dijadikan isteri.
Bukan itu sahaja, wanita terbabit sanggup mengirim wang sebanyak AS$75,000 dolar (RM226,000) kepada kekasihnya itu sebagai modal untuk menjadi rakan kongsi dalam perniagaan.
Namun, hajat nenek itu untuk berkahwin dengan lelaki pujaannya tidak kesampaian kerana lelaki itu rupa-rupanya adalah kasanova 'Awang Hitam' yang bijak memperdayakan wanita kesunyian melalui Internet.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, wanita warga Indonesia itu berkenalan dengan suspek menerusi laman sosial Facebook sejak beberapa bulan lalu.