Friday, 6 January 2012

Jadi Alat Pembangkang, Mahasiswa Melayu Patut Malu Dengan Mahasiswa Kaum Lain...


Segelintir kecil mahasiswa Melayu yang rela membiarkan diri mereka diperalat pembangkang patut berasa malu dengan mahasiswa kaum lain yang sentiasa menghargai masa untuk menimba ilmu pengetahuan di institut pengajian tinggi.

Demikian pandangan Ketua Penerangan Parti Progresif Rakyat (PPP)Malaysia, Datuk A. Chandrakumanan merujuk tindakan mahasiswa yang berdemonstrasi di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang kononnya memperjuangkan agar Adam Adli tidak dikenakan tindakan oleh pihak UPSI atas tindakannya menurunkan bendera Perdana Menteri serta kononnya memperjuangkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

“Kumpulan kecil mahasiswa ini sebenarnya terpedaya dengan hasutan pembangkang dan mereka merasakan bahawa masa hadapan mereka akan sentiasa terbela walau apapun yang terjadi."


“Berbeza dengan pelajar seperti kaum Cina dan India. Mereka sedar bahawa mereka perlu lebih berusaha sekiranya ingin berjaya di masa hadapan. Oleh yang demikian, mereka tidak mahu terbabit dalam perkara yang tidak berfaedah ini. Saya rasa, sudah sampai masanya kerajaan mengambil tindakan tegas dan sewajarnya terhadap para pelajar ini agar ianya menjadi pengajaran kepada pelajar lain”, katanya kepada UMNO-Online di sini.

Tegasnya tindakan sewajarnya perlu dilakukan kepada kelompok kecil mahasiswa ini agar perbuatan biadap yang sama tidak berulang.

“Hari ini mereka berani menurunkan bendera pemimpin dan mencabar kuasa polis, esok, lusa kita tidak tahu apa lagi yang akan mereka lakukan. Adakah kita mahu terus tunduk kepada mereka yang menjadi alat pembangkang ini?,” ujarnya.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan seterusnya percaya pembangkang telah ‘meracuni’ fikiran mahasiswa kononnya jika ada tindakan yang dikenakan terhadap mereka, peguam pembangkang sentiasa bersedia untuk membela nasib mereka.

“Mereka yang tertipu dek permainan pembangkang ini seharusnya sedar bahawa pembangkang hanya menjadikan mereka sekadar perkakas bagi menjayakan agenda politik sempit mereka.”, katanya. -MediaUMNO

No comments:

Post a Comment