Monday, 7 May 2012

Puaka Niring : Misteri Laluan Berhantu Di Behrang???...


Kemalangan maut yang meragut dua nyawa di laluan ‘berhantu’ di Kilometer 114, Jalan Behrang-Tanjung Malim di sini, 19 April lalu, menyebabkan penduduk sekitar semakin bimbang keselamatan mereka.

Kerisauan itu turut dikongsi penuntut Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), yang berulang-alik antara politeknik itu dan Bandar Behrang 2020 iaitu tempat rumah sewa mereka.

Difahamkan, beberapa kemalangan serius turut berlaku sebelum ini di laluan berkenaan yang hanya berada kira-kira 100 meter dari PSAS.

Tinjauan mendapati laluan maut itu lebih berbahaya bagi pemandu yang datang dari arah Behrang terutama pada waktu malam kerana tiada lampu jalan.

Justeru, penduduk dan pengguna berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera menangani laluan maut itu termasuk mencadangkan supaya PBT meluruskan jalan berkenaan.


Jika kerja meluruskan jalan memerlukan kos besar, mereka berharap PBT memasang lampu dan membuat papan tanda amaran kepada pengguna jalan raya.

Seorang penduduk yang berulang-alik dari Tanjung Malim ke Slim River, Mohd Rozaidi Ramli, 34, berkata, laluan berdekatan PSAS itu memang berbahaya terutama pada ketika hujan dan malam.

Katanya, ketiadaan lampu pada waktu malam di selekoh itu boleh mengundang kemalangan terutama pemandu yang pertama kali melalui laluan itu kerana mereka tidak sedar keadaan sebenar laluan itu.

“Ini kerana laluan itu agak bercerun dan kebimbangan lebih terasa setiap kali berselisih dengan kenderaan terutama lori besar yang dipandu laju,” katanya.

Beliau berkata, PBT juga perlu memasang papan tanda amaran sebagai ingatan kepada pengguna jalan raya sebelum laluan itu supaya pengguna berhati-hati dengan memperlahankan kenderaan ketika melalui laluan itu.


Katanya, rimbunan pokok di tepi jalan di sepanjang selekoh itu juga perlu ditebang dan diselenggara supaya pemandu yang datang dari arah Tanjung Malim dapat melihat dengan jelas kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

No comments:

Post a Comment