Wednesday, 16 May 2012

Puaka Niring : Misteri Rahsia Nenek Umur Panjang...


BALING - Seorang nenek yang berusia 91 tahun masih memiliki penglihatan, pergerakan, tutur kata dan kesihatan yang baik, walaupun sudah mempunyai hampir 200 ahli keluarga iaitu 70 cucu, 50 cicit dan kira-kira 20 piut sepanjang hidupnya di Kampung Masjid Teluk Teduri di sini.

Walaupun wajahnya jelas dimamah usia, Timah Jusof, yang dikurniakan lapan anak, masih mampu bertutur dengan baik dan mengingati kisah silamnya sejak puluhan tahun dulu.

Menurutnya, kesihatan, pergerakan dan percakapannya yang masih baik dimilikinya berkemungkinan disebabkan gaya hidupnya ketika masa muda.

“Saya seorang yang aktif. Tidak boleh duduk diam. Sejak berumur belasan tahun, saya mula menoreh getah dan mengerjakan sawah pada sebelah petang."

“Kerja dulu tak macam sekarang. Walaupun masih bersawah, kebanyakan pesawah menggunakan mesin berbanding dulu hanya bergantung kepada kudrat sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Timah berkata, dia akan keluar ke rumah seawal jam 5 pagi, kemudian akan pulang pada lewat petang bergantung kepada pekerjaannya.


“Saya memang tidak boleh duduk diam. Saya akan pastikan diri bekerja walau apa pun terjadi. Saya tidak selesa sekiranya hanya berada di rumah,” katanya.

Timah, yang kini dijaga oleh cucu-cucunya itu juga berkata, ulam dan pucuk paku merupakan makanan ruji baginya setiap hari.

“Dulu, penduduk sering bercucuk tanam. Lagipun, dulu memang banyak ulam. Belakang rumah pun ada."

“Makanan pagi, petang dan malam semuanya ada ulam. Disebabkan itu, penduduk waktu dulu masih lagi sihat malah mempunyai penglihatan yang baik sehingga ke hari ini,” katanya.

Kini, Timah hanya menghabiskan masa bersama adiknya, Che Lat Jusof, 81, di samping ahli keluarga yang lain.

Segala peralatan yang digunakan Timah semasa mengerjakan sawah, masih lagi disimpan sehingga kini untuk tatapan generasi keluarganya yang akan datang.

“Saya masih lagi menyimpan lesung kayu yang saya gunakan untuk menumbuk padi. Sekurang-kurannya, generasi akan datang tahu alat ini yang digunakan nenek mereka untuk mendapatkan sebutir nasi,” katanya.

No comments:

Post a Comment