Wednesday, 31 October 2012

Dr M Kata Masa Dah Sesuai Panggil PRU....


Sebagai bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO selama 22 tahun, pandangan dan kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai bila sesuai pilihanraya diadakan selalu curi tumpuan berbagai pihak.

Kata Dr Mahathir, pilihan raya umum ke-13 (PRU13) sesuai diadakan bila-bila masa sahaja, termasuk pada tahun ini namun terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memilih tempoh yang sesuai.

Katanya, sama ada diadakan hujung tahun ini atau awal tahun depan iaitu sebelum mandat lima tahun Barisan Nasional (BN) tamat, bila-bila masa dari sekarang juga merupakan masa yang baik untuk mengadakan pilihan raya.

"Bergantung kepada Datuk Seri Najib apa keputusannya. Pandangan saya adalah pandangan saya. Saya fikir kita sudah sampai penghujung, ia tidak menjadi masalah sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan," ujar beliau.

Menurutnya, BN boleh menunggu waktu yang sesuai untuk memuktamadkan tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum namun ini juga memberi peluang kepada parti pembangkang untuk membuat persediaan.

Dr Mahathir berkata beliau tidak menolak kemungkinan pilihan raya diadakan pada tahun ini juga.

Sementara itu, Najib yang juga merupakan Pengerusi BN mahu semua jentera parti gabungan itu mempunyai kesiapsiagaan yang tinggi sebelum menuju ke medan peperangan pada PRU13 tidak lama lagi.


Najib berkata sebelum menuju ke medan 'perang', seluruh jentera BN perlu membuat persiapan rapi, termasuk mengkaji pelbagai kemungkinan yang akan berlaku bagi memastikan setiap gerakan dilaksanakan tanpa rasa ragu.

"Kita mesti membuat persiapan dan terus bersiap sedia sehingga tiada lagi perasaan sangsi terhadap keputusan perang itu kelak. Saya menganggap persediaan ini amat penting, perancangan amat penting," kata beliau.

Berdasarkan amalan di Malaysia, Perdana Menteri mempunyai kuasa penuh bila-bila masa membubarkan Dewan Rakyat selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong.

Parlimen akan terbubar secara sendirinya selepas lima tahun, iaitu pada 28 April 2013 yang dikira berdasarkan hari pertama pertama persidangan Dewan Rakyat selepas pilihanraya umum ke 12 8 Mac 2008, iaitu pada 28 April 2008.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mempunyai masa dua bulan dari tarikh Parlimen dibubarkan untuk menetapkan tarikh pengundian.

No comments:

Post a Comment