Sunday, 10 March 2013

Artis Sabah Takut Nak Balik Kampung Sebab Pemberontak Sulu???...


Biarpun tidak bersama-sama untuk berjuang menentang penceroboh di Lahat Datu, namun sebahagian artis dari Sabah membantah kejadian itu selain memberi sokongan terhadap anggota keselamatan yang berjuang untuk negara.

Penyanyi berasal dari Tambunan, Sabah, Jimmy Palikat, 34, menganggap peristiwa pencerobohan ini membuka mata masyarakat betapa besarnya pengorbanan dan perjuangan perajurit.

"Saya sangat sedih mendengar ramai anggota polis kita yang mati dibunuh tentera Sulu, sebagai rakyat Malaysia, saya sangat menghormati dan menyanjung mereka yang terkorban sebagai wira negara.

"Selama ini kita selalu mempertikaikan tugas-tugas anggota polis dan tentera, sekarang baru kita sedar betapa besarnya tanggungjawab yang mereka pikul untuk pertahankan negara," katanya.

Tambah Jimmy, dia sering mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa tentang isu pencerobohan tersebut.

"Selama ini kita hidup dalam keadaan aman damai, jadi bila timbul huru-hara seperti ini kita jadi panik dan ingin tahu. Lebih-lebih lagi tempat tinggal saya di Tambunan tidak jauh dari tempat kejadian," ujarnya.

Kata Jimmy, dia dan keluarga sentiasa berhati-hati berikutan berita tentang penyamaran tentera pengikut individu yang mendakwa Sultan Sulu iaitu Sultan Jamalul Kiram III di perkampungan-perkampungan di Sabah.

"Saya dengar penceroboh sudah merebak ke beberapa kawasan dan keluar dari Lahat Datu, oleh itu saya dan keluarga mengambil langkah berhati-hati dan berharap pencerobohan ini dapat diselesaikan dengan segera.


Sementara itu, penyanyi Marsha Milan Londoh, 29, turut bimbang dengan perkembangan berita pencerobohan yang masih belum selesai.

"Ketika menerima berita ini, saya sangat terkejut, selama ini kita hidup aman sejahtera dan tidak menyangka ia boleh jadi begitu serius.

"Saya harap ia dapat diselesaikan secepat mungkin tanpa sebarang pertumpahan darah lagi.
Tambah Marsha yang berasal dari Tamparuli, dia turut risau degan keselamatan ahli keluarga yang tinggal di bandar berhampiran iaitu Tawau.

Bagi Penyanyi Adam (AF) yang berasal daripada Kota Kinabalu mengakui hanya mampu mendoakan yang terbaik dan keselamatan rakyat-rakyat penduduk Sabah dalam situasi ini.

"Biarpun tempat saya dan Lahat Datu agak jauh namun ramai teman-teman rapat berada di sana dan bandar sekitarnya seperti di Samporna dan Tawau.

"Buat masa ini saya hanya mampu berdoa dalam solat agar semuanya selesai cara baik. Saya juga terfikir untuk adakan solat hajat beramai-ramai supaya semua masalah ini dapat selesai secepat mungkin," katanya.

Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 30, berkata dia ada bertanya khabar berita daripada rakan-rakannya di sana, dan kebanyakan mereka berada dalam keadaan bimbang, malah ada yang sudah berpindah ke tempat lebih selamat.

"Ada rakan-rakan saya yang pindah buat sementara sehingga isu ini selesai bagi menjaga keselamatan keluarga, ada juga segelintir yang berada dalam keadaan ketakutan di sana," katanya.

Sementara itu, pengarah dan pelakon Afdlin Shauki, 42, memohon untuk mendapatkan saluran bagi memberi bantuan kepada mangsa pencerobohan di Lahat Datu.

Dia yang baru pulang dari melawat wilayah Gaza di Palestin pada Disember lalu, menzahirkan rasa bimbang dengan keselamatan rakyat Sabah kerana isterinya juga rakyat negeri itu.

"Saya secara peribadi merasa amat bimbang dengan apa yang terjadi di Lahad Datu, Sabah. Saya harap ada saluran yang boleh saya beri bantuan dan pertolongan yang patut," katanya.

Menurut Afdlin, isteri keluarganya dan rakan-rakan baik yang berada di Sabah memberitahu bahawa mereka berada dalam ketakutan.

"Isteri saya mempunyai keluarga yang tinggal di sana dan juga kenalan terdekat. Mereka memberitahu bahawa mereka berada dalam ketakutan dan tidak senang duduk kerana bimbang keadaan yang semakin serius," katanya.

Tambahnya, dia turut kesal apabila beberapa pihak mengambil kesempatan ini untuk mempolitikkan perkara ini untuk kepentingan peribadi.

"Saya kecewa apabila ada pihak yang mengaitkan peristiwa yang telah pun mengorbankan beberapa orang anggota polis kita itu dengan politik.

"Tolong lupakan sebentar agenda politik masing-masing dan jangan pedulikan dakwaan-dakwaan tersebut. Yang penting sekarang kita perlu bersatu demi kedaulatan dan keamanan negara kita.


Beberapa artis dari Sabah lain seperti Ayu Damit, Stacy, Adira dan Wawa Zainal yang dihubungi tidak menjawab panggilan telefon untuk memberi komen berkaitan isu itu. 
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.























No comments:

Post a Comment