LENGGONG – Tinggalan rangka manusia berusia 10,000 tahun atau dikenali sebagai Perak Man, dikembalikan ke Galeri Arkeologi Lenggong pada Oktober lalu, tiga tahun selepas ia pertama kalinya dipertontonkan kepada umum di Muzium Negara pada 2010, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
"Keputusan untuk mengembalikan Perak Man ke sini bermula daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) selepas mereka mengisytiharkan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia pada 2012.
"Ia disimpan di dalam sebuah bilik khas untuk melindungi bentuk tinggalan tulang itu.
"Jabatan Warisan Negara memeriksa rekod suhu dan kelembapan bilik tersebut dua kali sehari," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Makanan Tradisional Lenggong pada Sabtu.
Perak Man akan dibuka untuk dipertontonkan kepada orang ramai bermula 15 Februari ini.
Perak Man dijumpai di Lembah Lenggong pada 1990.
Ahli politik dan rakyat Perak mula menggesa tinggalan tulang itu dikembalikan ke Lembah Lenggong sebaik saja tapak itu diiktiraf oleh Unesco sebagai Tapak Warisan Dunia.
Dalam perkembangan berasingan, Nazri berkata, National Geographic dijadualkan menyiarkan dokumentari mengenai Hutan Royal Belum pada Februari depan.
"Penggambaran dilakukan pada tahun lalu dan seorang orang asli kaum Temiar bertindak sebagai pemandu pelancong untuk krew-krew penggambaran itu.
"Diharapkan, dokumentari itu akan menarik minat negara Barat mengkaji hutan hujan tropika paling tua di dunia itu," katanya. - mStar Online
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment