Thursday, 17 April 2014

Persatuan Penternak Sangkal Harga Daging Akan Naik RM40 Sekilo??? @NajibRazak @IsmailSabri60 #DSIS


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini menyanggah laporan sebuah akhbar yang mendakwa harga daging lembu tempatan mungkin naik sehingga RM40 sekilogram akibat kekurangan bekalan yang dikatakan mencapai tahap krisis bermula Jun ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Gabungan Persatuan Penternak Ruminan Malaysia memberi jaminan kepada beliau harga bahan tersebut tidak akan naik setinggi itu.

"Mereka maklumkan kepada saya dalam pertemuan hari ini, maklumat yang diperoleh oleh akhbar berkenaan bukan daripada mereka dan mereka beri jaminan tidak mungkin harga akan naik sebanyak itu," katanya dalam sidang media selepas pertemuan dengan persatuan tersebut.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata isu kekurangan bekalan daging lembu bukan perkara baharu dan pihaknya sudah mengambil beberapa langkah bagi memastikan bekalan sentiasa cukup.

Malaysia katanya sudah mengubah dasar dan tidak bergantung kepada import dari Thailand dan Vietnam semata-mata, sebaliknya mengimport dari negara lain seperti Amerika Selatan, Myanmar dan Kemboja.

Katanya, sebanyak 20,000 ekor lembu hidup dari Myanmar akan dibawa masuk ke negara ini setiap tahun manakala perbincangan dengan Kemboja pula di peringkat akhir.

"Bagaimanapun dasar kementerian adalah memperbanyakkan lembu tempatan dan mengurangkan lembu import. Sebab itu kita berbincang bagaimana untuk menambah lembu tempatan," katanya.

Bagi memperkukuh sistem pengeluaran lembu tempatan, beliau berkata kawasan kekal pengeluaran ruminan akan diwujudkan selain menggalakkan lebih banyak usahawan ternakan terlibat dalam aktiviti penternakan ruminan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata bagi mengelakkan kenaikan harga secara mendadak, beberapa langkah sudah diambil antaranya membenarkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mengimport lembu hidup dari Kemboja dan penternak dibenar menjual daging lembu tempatan di 525 pasar tani seluruh negara.

Selain itu mereka turut dibenar menjalankan aktiviti penyembelihan di rumah sembelih yang memenuhi syarat ditetapkan dan dilesenkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar selain rumah sembelih sedia ada, katanya.

Sebelum ini, sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan kekurangan bekalan daging lembu tempatan dijangka mencapai tahap krisis bermula Jun dan kritikal menjelang Oktober dengan harga seekor lembu meningkat melebihi RM4,000 dan harga daging segar pula mencecah RM40 sekilo.

Laporan itu turut menyebut jangkaan kenaikan harga berkenaan didakwa akibat bekalan lembu import daripada negara pembekal, khususnya Australia semakin terhad selain kenaikan mendadak harga lembu Thailand sejak awal tahun ini.

No comments:

Post a Comment