Monday, 21 April 2014

Peserta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu "Mat Salleh" "Teruja" Bila Bertemu Rosmah!!! @NajibRazak


Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini meraikan peserta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) 2014 dalam satu majlis resepsi khas di kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Seramai 80 peserta dari 75 buah negara diraikan dengan jamuan makanan dari Malaysia termasuk persembahan dari para pelajar universiti tempatan menyampaikan nyanyian dan tarian.

Rosmah turut duduk di meja utama bersama beberapa peserta pidato dari pelbagai negara sepanjang majlis berkenaan berlangsung (Gambar atas).

Dalam ucapannya pada majlis itu Rosmah berkata pertandingan hasil cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mempercepatkan lagi impian agar Bahasa Melayu terus dominan di persada antarabangsa.

“Penganjuran pertandingan seperti ini mampu memecahkan dominasi penguasaan Bahasa Melayu agar ia tidak hanya berlegar sekitar rumpun bangsa penutur asli bahasa itu sahaja.

“Untuk keluar dari kepompong realiti dan hakikat yang sedia ada, kita perlu usaha yang lebih imaginatif, inovatif, terancang untuk meningkatkan faktor bagi menggalakkan bangsa asing menguasai Bahasa Melayu,” katanya dalam majlis resepsi berkenaan di Dewan Bankuet, Seri Perdana.

Menurut beliau, Bahasa Melayu telah digunapakai di Malaysia, Indonesia, Brunei dan persekitarannya sejak melebihi 1,000 tahun yang lalu.

“Kini, Bahasa Melayu juga dituturkan oleh penduduk Melayu di selatan Thailand, Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan.


“Menurut statistik penutur Bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta orang. Ia merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur tertinggi di dunia selain daripada bahasa Mandarin, Inggeris dan Hindi,” kata Rosmah.

Pada majlis itu, rombonga peserta tiba di Kompleks Seri Perdana pada kira-kira pukul 9 pagi dari hotel penginapan mereka di RHR Hotel di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Bangi.

Seorang peserta dari Russia, Maria Mitsura turut menyampaikan ucapan bagi pihak peserta dalam Bahasa Melayu pada majlis itu.

Rosmah turut meluangkan masa berkenalan dengan para peserta dan bergambar kenangan dengan mereka selepas selesai jamuan resepsi.

Hari ini, selain resepsi peserta dibawa bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur termasuk akan menikmati pemandangan indah dari puncak Menara Kuala Lumpur di ibu negara.

Pertandingan PABM 2014 akan bermula di peringkat saringan esok. – MYNEWSHUB.MY

No comments:

Post a Comment