Produk pertanian yang akan dieksport ke pasaran luar negara akan melalui tapisan untuk memastikan jumlahnya mampu memenuhi kuantiti permintaan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tapisan itu perlu bagi memastikan imej negara tidak terjejas sekiranya pengusaha tidak mampu memenuhi jumlah permintaan produk.
"Banyak produk yang kita bawa sebelum ini dalam eskpo perdagangan dan pertanian di luar negara, kemudian bila orang luar berminat (dengan produk) dan buat order, kita pula yang terpaksa tolak kerana tak ada jumlah produk yang mencukupi.
"Ini akhirnya mendatangkan masalah kepada kita dari segi imej negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'Sesuka Hati Chef Bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani'.
Ismail Sabri menegaskan selain kuantiti, pengusaha juga perlu memastikan kualiti produk adalah baik dan konsisten serta memiliki pembungkusan yang menarik.
"Pengusaha juga perlu kreatif dari segi persembahan produk supaya lebih banyak orang berminat, untuk membolehkan produk kita bersaing dengan negara lain yang mengeluarkan produk serupa," katanya.
Berhubung lambakan tomato di Cameron Highlands baru-baru ini, Ismail Sabri berkata perkara itu selesai apabila kementerian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membeli tomato itu untuk dipasarkan ke pasaran tempatan, selain dieksport.
Mengenai program itu, Ismail Sabri berkata seramai 13 usahawan bumiputera dipilih untuk mengambil bahagian mempromosikan produk mereka secara langsung selama 10 minit dalam slot Nasi Lemak Kopi O di TV9.
Program yang disiarkan setiap Ahad bermula 20 April lalu itu menampilkan seorang wakil syarikat untuk mempromosikan produk menerusi masakan dan resipi mudah.
"Ini merupakan inisiatif kementerian untuk membantu usahawan Bumiputera mempromosi dan mengukuhkan penjenamaan mereka dalam pasaran tempatan, di mana kita menaja 70 peratus daripada kos siaran," katanya.
Beliau mempelawa usahawan Bumiputera yang berminat untuk menyertai program itu mengemukakan borang penyertaan melalui laman web kementerian www.moa.gov.my memandangkan masih ada kekosongan untuk tiga episod.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment