Monday, 12 May 2014

Tengku Abdullah Nasihat Peminjam Tekun Tidak Salah Guna Pinjaman.. @IsmailSabri60 @NajibRazak #DSIS


Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihati peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional agar tidak menyalahgunakan kemudahan itu.

Titah baginda mereka juga perlu melunaskan pinjaman seperti yang ditetapkan agar kemudahan itu dapat dimanfaatkan oleh peminjam lain pada masa akan datang.

"Segala kemudahan yang disediakan agensi kerajaan bertujuan membantu usahawan, dan peluang yang ada harus diambil untuk usahakan perniagaan sebaik mungkin," titah baginda ketika ketika merasmikan Program Jelajah Informasi Usahawan anjuran kerajaan negeri Pahang peringkat daerah Raub di Dataran Taman Tasek Raub.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional Datuk Abdul Rahim Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri Datuk Shahiruddin Ab Moin.


Titah Tengku Abdullah sejak penubuhannya pada 1995, Tekun Nasional sudah mengeluarkan pinjaman lebih RM3 bilion kepada 280,000 usahawan di seluruh negara.

Di Pahang sahaja lebih 30,000 usahawan mendapat pinjaman membabitkan peruntukan RM205 juta dalam tempoh yang sama, titah baginda.

Baginda turut berharap jelajah usahawan yang diadakan itu dapat memberi panduan dan maklumat kepada usahawan dalam mendapatkan pinjaman serta bantuan untuk menjalankan perniagaan.

Hasil maklumat dan panduan itu, baginda berharap usaha kerajaan untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan dan peniaga yang maju dan berdaya saing akan tercapai.

Baginda turut menyarankan agar usahasama dijalankan antara Majlis Amanah Rakyat (Mara), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan Tekun dalam mengenal pasti golongan asnaf yang berpotensi diberikan bantuan bagi memulakan perniagaan.

No comments:

Post a Comment