Sampai bila seks akan terus menjadi perkataan yang dilarang (taboo) untuk dibincangkan secara terbuka menyebabkan hingga kini belum ada kata putus mengenai usaha memeperkenalkan pendidikan seks di sekolah.
Sebab utama kenapa pendidikan seks tidak dapat diajar di sekolah kerana ketakutan tidak berasas sesetengah pihak, tindakan itu tidak akan membantu menyelesaikan gejala sosial yang berleluasa dalam kalangan pelajar serta remaja.
Persoalannya, tanpa pendidikan seks di sekolah apakah gejala sosial seperti zina, hubungan seks rambag, pembuangan bayi atau kes rogol semakin berkurangan? Jawapannya tidak juga kerana ada saja kes rogol bawah umur dan pembuangan bayi dilaporkan.
Perbincangan mengenai Reproduktif, Kesihatan Seksual dan Nilai Islam : Etika dan Kacamata Undang-undang oleh pensyarah Fakulti Agama dan Teologi, Universiti KwaZulu Natal, Kolej Kampus Howard, Durban, Afrika Selatan, Prof Abul Fadl Mohsin Ebrahim, turut membangkitkan perkara itu semasa menyampaikan ceramah di Institut Antarabagsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS).
Beliau berpendapat, pendidikan seks perlu sebagai salah satu alat pembendung perkara negatif seperti kehamilan usia muda, perlakuan seks bebas serta penyakit kelamin.
Bagi tujuan itu, pendidikan seks dicadangkan diajar oleh guru lelaki kepada pelajar lelaki dan guru perempuan kepada pelajar perempuan. Guru yang dipilih pula perlu mempunyai kelayakan, berwibawa serta berintegriti.
Silibus pendidikan seks perlu direncana melalui pandangan yang luas, bukan tertumpu kepada perlakuan sahaja tetapi merangkumi kasih sayang, kekeluargaan dan hukum agama supaya ilmu itu benar-benar memberi manfaat serta mencapai matlamat.
Gabungan kebijaksanaan ahli fiqh yang memberi pandangan, pakar bidang perubatan dan ilmu wahyu diperlukan bagi membantu hasrat mendedahkan pelajar kepada pendidikan seks mampu dilaksanakan dengan lebih baik seterusnya menghasilkan impak diharapkan.
Ketua Pegawai Eksekutif IAIS, Prof Dr Mohammad Hashim Kamali berkata, "Fiqh adalah warisan yang kaya tetapi tidak semua berlaku dalam masyarakat kontemporari dibicarakan ahli fiqh terdahulu. Begitu juga fiqh kesihatan yang mendedahkan kita kepada pelbagai masalah kerana bidang ini tidak dijelaskan secara khusus tetapi umum".
"Apa yang kita ada ialah rujukan iaitu Al Quran dan sunnah serta panduan bagaimana hendak mencari jalan penyelesaian. Oleh itu, mereka yang berilmu serta mempunyai kepakaran perlu membantu menangani masalah ini".
Kulaan : dengan adanya pendidikan seks di sekolah, Kulaan harap sekalipun tidak akan dapat menghapuskan masalah gejala sosial tapi sekurang-kurangnya dapat mengurang dan menurunkan statistik masalah berkaitan gejala sosial di negara ini.
No comments:
Post a Comment