Friday, 30 December 2011

Dr. vs Dr. : Dr. Asri Bidas Dr Badrul Amin Isu "ANUar Imam Mahdi Yang Ditunggu-tunggu"...


Dr. Asri Zainul Abidin membidas penceramah bebas, Dr. Badrul Amin Baharon berhubung kenyataannya dalam satu ceramah yang membayangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘Imam Mahdi’ yang ditunggu-tunggu umat Islam di seluruh dunia.

Memetik kenyataan Bekas Mufti Perlis itu di laman sosial Twitter miliknya, Asri menyifatkan dakwaan Badrul Amin itu sebagai satu bentuk ‘pemujaan’ yang merbahaya dan tidak sepatutnya diungkapkan.

“Sy rasa pmujaan Dr Badrul Amin kpd DSAI mlebihi batas yg patut. Ia sdh ke-1 prgkat yg bahaya. Hrp dibtulkan,” katanya. (Saya rasa pemujaan Dr Badrul Amin kepada DSAI melebihi batas yang patut. Ia sudah ke-1 peringkat yang merbahaya. Harap dibetulkan).


Dalam Twitternya itu, beliau turut meletakan link ke video klip yang memperlihatkan kenyataan yang dibuat oleh Badrul Amin.

Asri turut memperingatkan tentang apa yang berlaku terhadap bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad yang mendakwa dirinya sebagai pemimpin umat Islam akhir zaman yang dijanjikan Allah SWT sehingga menyebabkan timbulnya unsur fanatik dan merosakkan para pengikutnya.

“Dlu, Ashaari Arqam prnh mngaku dia pmimpin y djanjikan Allah. Jadi fanatik n rosak pngikut. Elakkn dkwaan spt itu. Bnyk ksannya,” katanya lagi. (Dulu, Ashaari Al-Arqam pernah mengaku dia pemimpin yang dijanjikan Allah. Jadi fanatik dan rosak pengikut. Elakkan dakwaan seperti itu. Banyak kesannya).


Sebuah blog politik pro-pembangkang baru-baru ini menyiarkan sebuah video yang kemudiannya dimuat turun ke laman Youtube memaparkan Badrul Amin menyifatkan Anwar sebagai pemimpin dari timur yang akan menyatukan umat Islam dan negara-negara Arab.

Memburukkan lagi keadaan, Badrul Amin turut mendakwa bahawa Anwar akan membebaskan Masjid Al-Aqsa yang kini berada di dalam cengkaman Yahudi melalui rejim Zionis Israel.

Badrul Amin, sebelum ini di dalam kenyataan di laman sosial Facebooknya menafikan ada mengeluarkan kenyataan menyamakan Anwar sebagai Imam Mahdi dan tidak sekalipun menyebut perkataan ‘Imam Mahdi’ di dalam ceramahnya.

Bagaimanapun, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabak Bernam itu menyebut mengenai ciri-ciri seorang pemimpin dari timur sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis Rasulullah SAW sebagai Imam Al-Mahdi, di mana lelaki itu akan menyatukan umat Islam dan negara-negara Arab yang sedang bertelagah serta membebaskan Masjid Al-Aqsa dari kekuasaan Yahudi Israel.

Badrul Amin menamakan pemimpin tersebut kini ada di Malaysia dan dia yang dimaksudkan ialah Anwar Ibrahim. -MyNewsHub

No comments:

Post a Comment