"Hukuman Gantung".
Mendengarnya sudah cukup menggerunkan. Bagaimana pula kalau bertugas sebagai tukang gantung? Bagi Samuel (bukan nama sebenar), sepanjang "tugas khas"nya sebagai tukang gantung hampir 20 tahun, beliau terlibat atau menjalankan sendiri penggantungan 103 orang banduan, lelaki dan wanita termasuk kes-kes berprofil tinggi di Penjara Pudu, Penjara Kajang dan Penjara Taiping. Tugasnya terkini ialah warganegara Nigeria, kira-kira tiga tahun lepas akibat kesalahan dadah.
"Bukan mudah nak mengambil nyawa orang", ujar pegawai penjara berpangkat Timbalan Penguasa yang berusia 48 tahun itu dan telah berkhidmat selama 30 tahun dengan Jabatan Penjara Malaysia. Sepanjang kira-kira dua jam perbualan, Samuel banyak berkongsi pengalaman dan pengetahuannya tentang hukuman gantung serta pelaksanaannya. Beliau adalah generasi ketiga dalam keluarganya bekerja sebagai pegawai penjara kerana ayah dan datuknya juga pernah berkhidmat dengan Jabatan Penjara Malaysia.
BUKAN GLAMOR
Samuel menganggap tugas khas yang dilakukannya hanya sebagai satu tugas dan sudah tentunya bukan "tugas glamor".
"Saya suka tugas yang mencabar. Di dalam penjara ini, ada dua jenis kerja yang mencabar iaitu tukang sebat dan tukang melaksanakan hukuman gantung. Kalau kita boleh buat dua kerja tu, maknanya kita telah sampai ke peringkat akhir, kalau belajar telah sampai ijazah kedoktoran," kata Samuel.
Ada satu sifatnya yang diberitahu yang mungkin memberi kelebihan untuknya menjalankan tugas khas iaitu sejak kecil, dia tidak boleh menangis dan dia dengan mudah boleh mengatasi perasaan sedih. Seperti katanya,"nak buat kerja tugas khas ni, tak boleh ada rasa kasihan dan tak boleh cakap besar."
PEMILIHAN RAPI
Ramai pegawai penjara yang ingin menjalankan tugas khas ini tetapi prosesnya bukan mudah.
Yang memohon juga hanya mempunyai satu peluang, sekali ditolak, mereka tidak boleh memohon lagi. Menurut Samuel, jika 30 yang memohon dan mencuba, akhirnya yang tinggal mungkin tiga atau empat orang sahaja dan ada kalanya tiada langsung.
"Sebelum dipanggil temuduga, rekod kerja kita akan diteliti, kedudukan kewangan kita juga penting. Nak buat tugas ini, fikiran tak boleh berserabut. Pandai menyimpan rahsia juga amat penting kerana pegawai yang melaksanakan tugas ini ada kalanya mendapat tahu mengenainya seminggu lebih awal," jelas Samuel.
Beliau sendiri diperhalusi "sifu-sifu"nya sebelum dibawa masuk ke bilik gantung.
" Hukuman gantung ini bukan ada tiap-tiap hari. Kadang-kala satu tahun ada satu atau tiga kali sahaja. Masa itulah kita akan dibawa sama untuk berada di dalam bilik gantung. Kalau mereka tengok kita OK, baru mereka akan beri penjelasan lanjut. Kita bukan ada kelas khas, banyak praktikal dan latihan sambil kerja," jelasnya.
TAHUN-TAHUN AWAL
Samuel yang mula menjalankan tugas khas ini semasa beliau di Pulau Jerejak di mana beliau juga menjalankan tugas sebat berkata kesempurnaan kerja bukan boleh dicapai semalaman.
Pada tahun-tahun awal dipilih untuk menjalankan tugas khas ini, beliau hanya sekadar memerhatikan hukuman dijalankan.