Wednesday, 14 May 2014

Rangkaian Agro Bazaar Bakal Di Buka Di Pasaran Antarabangsa @IsmailSabri60 @NajibRazak #DSIS


Rangkaian Agro Bazaar akan mula dibuka di pasaran antarabangsa bermula di Singapura dan Acheh tidak lama lagi dalam usaha kerajaan meneroka peluang pasaran lebih luas bagi produk pertanian serta industri asas tani negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebelum ini produk tempatan hanya boleh didapati di pasar raya besar tertentu di luar negara menyebabkan pemasarannya agak terhad.

Beliau berkata langkah itu juga bagi membolehkan lebih banyak produk industri kecil dan sederhana (IKS) bermutu keluaran tempatan dapat dipasarkan ke luar negara dengan lebih efektif.

"Agro Bazaar di Singapura akan dibuka sepenuhnya mulai pertengahan Jun depan, manakala cawangan di Acheh pula akan dibuka akhir bulan yang sama," kata beliau ketika berucap di majlis perasmian Program Pemerkasaan Ekonomi Melayu & Bumiputera Menerusi Keusahawanan di Agro Bazaar, Pagoh.


Turut hadir menyempurnakan majlis perasmian itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ismail Sabri berkata semua perkara berkaitan termasuk lokasi yang sesuai juga sudah dipilih bagi membolehkan produk pertanian segar termasuk buah dan sayur serta produk IKS dipasarkan secara lebih menyeluruh di premis bazar yang berada di bawah naungan kementerian itu.

"Selain itu, kita juga sedang membuat persediaan membuka Agro Bazaar di Guangzhou, China dan Hong Kong selepas ini," katanya.

Mengenai pembukaan Agro Bazaar di Singapura, beliau berkata ia akan membantu meningkatkan pasaran produk pertanian segar dan produk IKS yang diusahakan pengeluar di Johor.

Sementara itu beliau turut menyarankan supaya usahawan tani serta pengeluar IKS lebih kreatif dan berani mengeluarkan produk baharu bagi membolehkan industri pertanian dan asas tani negara terus berdaya saing di peringkat antarabangsa.

No comments:

Post a Comment