"Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi" yang sepatutnya menghimpunkan lebih 100 ribu peserta akhirnya yang hadir kurang dari 10 ribu sahaja, kebanyakannya ialah penyokong Pakatan Harapan, selain orang awam yang kebetulan lalu di situ untuk sekadar melihat apa berlaku.
Suasana himpunan tanpa permit polis bertema "Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi " anjuran Pakatan Harapan itu ternyata seumpama fun-fair atau pesta sukaria meskipun gah dihadiri ramai pemimpin utama pembangkang.
Antara pemimpin hebat pembangkang yang hadir termasuk Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali dan pemimpin ‘otai’ DAP, Lim Kit Siang di pentas utama.
Sebahagian hadirin dilihat mengambil kesempatan membeli snek daripada puluhan trak makanan serta pakaian dan buku politik antikerajaan di khemah peniaga yang dibuka penganjur hingga menyebabkan kesesakan trafik.
Kawasan persekitaran padang juga diawasi oleh penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), selain membuat kawalan terhadap pergerakan orang ramai di setiap laluan masuk ke padang awam rekreasi tersebut.
MBPJ juga terpaksa menutup laluan dari arah Stesen LRT Taman Jaya, menuju ke arah padang itu manakala laluan bertentangan di hadapan pusat beli-belah Amcorp Mall masih dibuka seperti biasa kepada urusan orang ramai.
Selain itu, pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan Kontinjen Selangor, turut mengawasi keselamatan di kawasan sama. Himpunan bermula sekitar jam 2 petang dan berakhir lewat malam.