Kisah naga terlalu sinonim dengan tasik air tawar kedua terbesar di Malaysia selepas Tasik Bera iaitu Tasik Chini. Beratus tahun telah berlalu, namun lagenda ini masih terus melingkari penduduk setempat.
Cerita Satu
” Peneroka Felda Chini 2, Bahasan Abdullah,51, berkata kewujudan naga di Tasik Chini memang benar kerana dia sendiri pernah melihatnya pada 1986.Walaupun mungkin ada menganggap apa yang dikatakannya itu sebagai dongeng, tetapi peristiwa yang berlaku dalam hidupnya membuktikan sebaliknya. “Ketika itu, saya mengangkat jaring ikan di kawasan Laut Gumum tetapi tersangkut ular besar di situ dan berhasrat membebaskannya.
“Bagaimanapun, selepas melihat ular itu seperti melawan, saya kemudian menetak kepalanya hingga terkulai mati. “Saya meletakkan ular itu dalam sampan dan terkejut kerana melihat darahnya seperti darah manusia, begitu banyak dan kemudian mencampakkannya ke tasik,” katanya.
Bahasan berkata, ketika bahagian hujung jaring diangkat, seekor lagi ular daripada spesies sama tersangkut di situ dan dia juga turut membunuh ular berkenaan. Katanya, ketika menaiki sampan menuju ke pangkalan bot pada kira-kira jam 10 pagi, secara tiba-tiba dia melihat tiga lengkungan badan naga yang sangat besar muncul di permukaan air.”Walaupun jaraknya jauh dan hanya beberapa minit, tetapi saya melihat jelas badan naga berwarna hitam itu sangat besar dan ombak yang terhasil juga sangat kuat. “Ketika itu, dua lelaki Indonesia yang sedang mandi di tepi tasik itu turut melihat kejadian itu dan bergegas naik kerana ombak terlalu kuat,” katanya.Bahasan berkata, sekembalinya ke rumah, kepalanya berasa gatal dan pada hari ketiga, kesan gatal di kepala itu akhirnya menjadi seperti debu.
“Tidak lama kemudian, seluruh badan saya menjadi lemah dan dijangkiti penyakit seperti kudis melepuh berair yang berbau hanyir.”Lebih 30 bomoh saya temui di seluruh negara untuk mengubat penyakit misteri ini tetapi gagal, malah saya pernah dimasukkan ke hospital selama 20 hari pada 1988 tetapi doktor mengesahkan saya tidak berpenyakit,” katanya. Bahasan berkata, penyakit itu turut menyebabkan isterinya lari meninggalkannya. Katanya, seorang bomoh di Terengganu yang ditemuinya memaklumkan penyakit itu hanya akan sembuh dengan usaha dirinya sendiri.
“Saya menderita penyakit ini selama 13 tahun dan hanya sembuh selepas saya nekad pergi semula ke kawasan saya menemui ular itu dulu.”Saya berdoa pada Allah dan mengambil air Tasik Chini yang dicampurkan dengan tanah tasik, kemudian disapu ke seluruh badan. “Rawatan itu saya buat setiap hari dan bersyukur akhirnya sembuh juga tetapi kenangan itu meninggalkan kesan mendalam dalam hidup saya yang mungkin terkena sumpahan naga di situ,” katanya.”
Cerita 2
Berdasarkan cerita rakyat, seekor naga besar dikenali Naga Seri Gumum, dikatakan menghuni Tasik Chini dan kisah itu turut dipaparkan pada papan tanda besar yang diletakkan di Tasik Chini Resort untuk dibaca pelancong yang datang ke situ.Menurut cerita orang tua-tua, satu ketika dahulu, sekumpulan Orang Asli suku Jakun datang ke kawasan hutan tebal, lalu meneroka dan membuka tanah di situ untuk bercucuk tanam.
Pada satu hari, ketika kumpulan Orang Asli itu berkumpul untuk bercucuk tanam, tiba-tiba muncul seorang wanita bertongkat dan memberitahu, tempat berkenaan adalah miliknya dan mereka perlu meminta izin sebelum menerokanya. Bagaimanapun, wanita itu akhirnya mengizinkan mereka membersihkan kawasan itu selepas Tok Batin meminta maaf dan bagi menguatkan tuntutannya, wanita berkenaan mencacakkan tongkatnya di tengah kawasan yang diterokai itu sambil memberi amaran supaya tidak mencabutnya sebelum dia menghilangkan diri. Kumpulan itu terus bercucuk tanam sehingga tiba-tiba mereka diganggu dengan salakkan anjing di pinggir kawasan yang dibersihkan.