Berikut intipati Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, malam Sabtu.
Manifesto bertajuk 'Menepati Janji Membawa Harapan' itu, mengandungi janjiBN untuk membawa negara ke peringkat lebih tinggi sekiranya diberikan mandat baharu dalam pilihan raya umum ke-13 nanti:
1. Menangani Kos Sara Hidup :
* Menambah BR1M sehingga RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk bujang dengan bantuan secara tahunan dikekalkan.
* Mempertingkatkan Baucar Buku 1Malaysia kepada RM300 dan Bantuan Persekolahan kepada RM150.
* Menyemak semula Dasar Automotif Nasional bagi mengurangkan harga kereta secara berperingkat antara 20 hingga 30 peratus serta meningkatkan daya saing kereta nasional.
* Menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia.
* Memperkenalkan produk 1Malaysia di stesen minyak dan pasar raya besar.
* Membuka Klinik 1Malaysia di dalam kawasan komuniti padat penduduk.
* Menyediakan lebih banyak Pusat Jagaan Harian 1Malaysia untuk ibubapa bekerja.
* Menurunkan yuran jalur lebar sekurang-kurangnya 20 peratus dengan jaminan bandwidth internet.
* Melaksanakan dasar 1Negara 1Harga bagi barangan keperluan asas.
* Memperkenalkan lebih banyak produk 1Malaysia yang digerakkan oleh GLC dan sektor swasta.
2. Meningkatkan Kehidupan Warga Bandar :
* Menstruktur semula kerajaan termasuk mewujudkan kementerian baharu seiring dengan anjakan corak demografi bandar di negara ini dan menangani cabaran sosial dan ekonomi bandar.
* Menambah perwakilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat awam dalam kerajaan tempatan.
* Memulihkan semula rumah kos rendah dan flat di bandar-bandar.
* Mengambil alih penyelenggaraan prasarana perumahan awam.
* Menyediakan perumahan awam berkualiti khusus untuk generasi muda yang mencari kerja.
* Membina kemudahan dan kawasan rekreasi bagi meningkatkan kualiti hidup di bandar.
* Memastikan kemudahan pendidikan, latihan dan perkhidmatan kesihatan.
* Menambah baik rangkaian pengangkutan antara bandar dan penempatan.
* Membuka lebih banyak Anjung Singgah (pusat perlindungan sementara untuk golongan gelandangan) di kawasan yang diperlukan.
3. Menyediakan Rumah Mampu Milik:
* Membina 1,000,000 buah rumah mampu milik - digerakkan oleh sektor awam dan swasta - termasuk 500,000 buah rumah PR1MA.
* Memastikan harga rumah PR1MA sekurang-kurangnya 20 peratus di bawah harga pasaran.
* Memperkenalkan skim sewa dan milik untuk projek perumahan kerajaan.
* Memulihkan semula projek perumahan terbengkalai untuk melindungi pembeli rumah.
* Mengambil alih penyelenggaraan semua Projek Perumahan Awam.
* Membantu pemilik rumah berpendapatan rendah dan miskin untuk memperbaiki rumah mereka.
* Menggantikan kawasan setinggan dengan kawasan perumahan tetap yang selesa.
* Memperbaiki perumahan estet dan menyediakan rumah untuk bekas pekerja estet melalui perkongsian kerajaan-estet.
* Memansuhkan yuran setem untuk pembelian rumah pertama berharga di bawah RM400,000.