Ahad, 02 Oktober 2011 06:30 HELME HANAFI
Selepas temubual satu jam 30 minit dengan Tan Sri Dr Tony Fernandes Jumaat lalu, kami dibawa meninjau suasana kerja di ibu pejabat Air Asia yang terletak di LCCT, Sepang. Orang kepercayaan Tony, Ahmad Faizul menjadi 'tour guide' kami, menunjukkan persekitaran pejabat yang amat santai dan ringkas.
Jika anda biasa ke LCCT, ada satu pintu yang membolehkan anda naik ke atas, di antara barisan kedai-kedai, ada lif – satu-satunya dan lebih mudah menggunakan tangga.
Di tingkat satu, itulah Air Asia beroperasi, semua jabatan, dari pengiklanan, IT, undang-undang, promosi, sumber manusia dan di situlah juga pejabat Tony, timbalannya juga pengerusi syarikat.
Ketika Ahmad Faizul menunjukkan meja Tony, saya terkejut, ia sama sekali tidak ada bilik, ruang terbuka, begitu juga yang lainnya. Hanya satu meja kecil dengan dekorasi manimalis dan koleksi topi di hujung dinding.
"Kami memang begini, ketika temuduga antara kreteria calon kakitangan kami adalah, jika dia melihat pejabat, cara kami bekerja ini dan berkata 'wow' dan itulah dia orangnya…" kata Adzhar Ibrahim Ketua Jabatan Sumber Manusia Air Asia.
Jabatan Sumber Manusia itu sendiri hanya ruang kecil dengan beberapa kerusi. Ringkas tetapi terbukti berkesan.
Ini diakui sendiri oleh Tony, katanya, sejak tujuh tahun lalu, Air Asia tidak pernah memberhentikan pekerja mereka. Bahkan kakitangan berpeluang naik pangkat dengan mudah jika mereka berkebolehan dalam syarikat yang berkembang pantas itu.
"Kami tidak perlu kesatuan sekerja, kamu boleh pergi dan tanya kakitangan saya, mereka sendiri tidak mahukannya, banyak pihak luar yang datang melobi, tetapi kakitangan merasakan tidak perlu, kerana apa? Kerana mereka boleh bertemu saya bila-bila masa.
"Tidak perlu melalui kesatuan sekerja, siapa saja boleh berjumpa saya jika ada masalah," katanya.
Memang tidak ada protokol tertentu diamalkan syarikat tersebut antara bos-bos dan kakitangan bawahan. Mereka semua bakerja seperti satu keluarga besar.
"Ada kakitangan yang bermula sebagai penjaga kaunter check in bergaji seribu ringgit kini kapten pesawat dengan gaji RM30,000," kata Azran Osman Rani, (gambar bersama Tony) CEO Air Asia X yang turut serta dalam temubual dengan Tony itu.
Kisah Air Asia adalah kisah tentang menukar mimpi menjadi kenyataan. Falsafah mereka, tiada yang mustahil.
Ketika meninjau persekitaran pejabat, kami terserempak dengan Datuk Kamarudin Meranum, saya pernah bersamanya, dalam 'Ops Piramid' ketika kerajaan Malaysia dengan kerjasama Air Asia dan MAS membawa pulang lebih 14,000 ribu rakyat dan pelajar Malaysia dari Mesir awal tahun lalu.
Sebagai syarikat korporat terkemuka, ia merupakan sumbangan Air Asia kepada masyarakat, bukan hanya di Mesir, bahkan misi yang serupa atau seumpama itu juga dibuat ketika Jepun dilanda Tsunami, atau New Zealeand dilanda gempa bumi.
Sepertinya, mereka ingin memberitahu, Air Asia ada bersama kamu, di saat susah dan senang.
Berbalik pada kisah "Ops Piramid" saya ada dan menyaksikan bagaimana Kamarudin sendiri 'singsing lengan' membantu apa yang patut sepanjang operasi yang melibatkan juga TUDM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dia bukan jenis orang yang bagi pesawat dan berdoa, sebaliknya dia turut serta ketika kami berdepan saat-saat getir, termasuk tidak mendapat hak untuk mendarat ketika pesawat sudahpun di ruang udara.
"Hari itu, jika kita tidak dapat hak mendarat, saya sudah buat keputusan untuk ke Abu Dhabi," katanya mengenang kembali peristiwa cemas tersebut.
Satu perkara yang saya dapat rasakan bersama bos-bos Air Asia ini adalah mereka 'sempoi'.
Boleh bercakap apa sahaja dengan sesiapa sahaja tanpa memandang kedudukan atau taraf orang itu.
Juga fakta ini, dari dalam buku laporan tahunan Air Asia 2010, bahawa lima dari sembilan lembaga pengarah syarikat tersebut adalah Bumiputera.
Juga 10 dari 22 pengurus kanan Air Asia adalah Bumiputera dan selebihnya mewakili berbagai kaum di Malaysia juga seorang 'Mat Saleh'
Memang majoriti kakitangannya adalah Bumiputera, tapi Tony ada pandangan lain mengenainya… "Kami tidak bercakap soal kaum di sini, semua dinilai kerana merit masing-masing," katanya tegas.
Jika kita membaca profail pengurus kanannya, kita tahu mengapa Air Asia berkembang dengan cepat dan pantas.
Syarikat itu mempunyai 'modal insan' yang hebat-hebat. Samada kerana kelulusan yang tinggi dari universiti terbaik seluruh dunia, atau pengalaman yang panjang dalam bidang masing-masing.
Contohnya Ketua Kewangan Korporatnya, Aireen Omar, mula bekerja dengan Deutche Bank Securities di New York. Kelulusan ekonomi dari London School of Economies and Political Science yang sambung Sarjana Ekonomi di New York University.
Atau contoh lainnya Ketua Jabatan Sumber manusia Adzhar Ibrahim yang berpengalaman selama 29 tahun dalam bidang tersebut dari berbagai sector.
Ahmad Faizul sendiri kakitangan awal Air Asia sejurus diambil alih oleh Tune Air Sdn Bhd dari DRB Hicom.
Dia bermula sebagai krew dan mendaki berbagai tangga hingga kini iktiraf Tony sendiri "orang yang menguruskan komunikasi saya,"
'The best brain' ini bersama-sama dengan mimpi dan keyakinan bahawa tidak ada sesuatu yang mustahil, maka tidak hairanlah Air Asia dari dua pesawat kini sudah memiliki 186 pesawat dengan ratusan laluan perjalanan.
"Falsafah kami adalah menarik yang terbaik, latih dan mengekalkan mereka. Bukan sahaja terbaik dari segi kelayakan akademik tetapi sikap yang betul, keterbukaan kepada idea baru, keupayaan untuk berfikir dengan cara berbeza dan bila keadaan sukar, mencuba dan terus mencuba," kata Tony mengenai pekerjanya.
"ONE People, ONE Culture, ONE Air Asia, ONE Family," itu visinya.
Kini selepas 10 tahun beroperasi bermula September 2001, dari hanya mengangkut 250,000 penumpang pada 2002, mereka memperolehi 50 juta penumpang pada 2008 dan 1 bilion pada Oktober 2010.
Keuntungannya pada tahun lepas melebihi RM 1 bilion ringgit.
Tentulah Air Asia merupakan syarikat yang membanggakan Malaysia. Kini ia berkembang bukan sahaja di dalam negara, bahkan di rantau ASEN. Sudah ada Air Asia Thailand dan Indonesia. Sudah ada hub penerbangan di negara-negara tersebut.
Pada Ogos 2012 pula dijangka Air Asia Japan akan dilancarkan. Selain itu, Air Asia X, kini menumpukan penerbangan jarak jauh ke Eropah, dengan penerbangan ke London dan Paris.
Semua pencapaian ini, adalah merit tersendiri, untuk sekurang-kurangnya Tony dan Kamaruddin melakukan sesuatu bagi memperkasakan lagi syarikat penerbangan negara MAS.
Kedua-duanya dilantik menjadi Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif MAS baru-baru ini.
Ada yang curiga dan membuat berbagai andaian, nantikan jawapan Tony dalam wawancara penuh dengan Agendadaily yang akan disiarkan pada Selasa 4 Oktober.-3/10/2011 – OLEH HELME HANAFI DAN MOHAMED HIEKAL