Jadilah Sahabat Kulaan...

SEWA

SEWA

TRIP

TRIP
PAKEJ TRIP KE KRABBI, HATYAI TERMURAH...
Showing posts with label Paranormal. Show all posts
Showing posts with label Paranormal. Show all posts

Tuesday, 28 February 2017

Puaka Niring : Misteri ‘Obesiti’ Hidupan Air… Ini Penjelasannya!



Baru-baru ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan penemuan seekor labi-labi bersaiz gergasi yang mencecah berat sehingga 80 kilogram di Batu Gajah, Perak.

Penemuan haiwan sepanjang 1.2 meter itu lantas menarik perhatian ramai yang rata-ratanya mempersoalkan hayat labi-labi itu memandangkan saiznya yang begitu luar biasa.

Bagaimanapun, menurut seorang yang hanya mahu dikenali Zainal, bukanlah sesuatu yang pelik hidupan air kini memiliki saiz yang boleh disifatkan sebagai ‘obesiti’ atau gergasi.

Menurutnya, punca banyak hidupan kini membesar dengan kadar melampau adalah kerana lambakan pelet (makanan ikan ternak) di sungai, lombong atau tasik yang dilemparkan pemancing ketika atau selepas habis memancing.

” Sampai 3 kilogram lebur dalam tasik sebab asyik tukar umpan, maksudnya sekali baling, tunggu dan tarik balik, umpan akan relai dalam air.

“Jadi, bubuh lagi umpan baru, ulang berkali-kali, mahu habis sampai berkilo-kilo pelet,” katanya.

Kata beliau, kebiasaanya seorang pemancing tegar akan menggunakan sekurang-kurangnya dua hingga tiga kilogram pelet ketika memancing.

Situasi ini sekali gus menyebabkan hidupan air ‘dimewahkan’ dengan makanan (pelet) lantas menyebabkan saiz ikan, kura-kura, labi-labi dan seangkatan dengan membesar bagaikan ‘obesiti’.

“Sejak memancing guna umpan makanan ikan ternakan menjadi trend, ia menjadikan hidupan air mewah.

“Sebab itu patin lombong sekarang saiz berbelas kilo adalah perkara biasa,” katanya yang juga seorang pemacing handalan.

Peminat kaki pancing juga kebiasaannya akan melepaskan balik ikan bersaiz besar ini kerana rasanya yang tak begitu sedap dan susah untuk dijual.

Hal ini seterusnya membuatkan hidupan air ‘bersaiz gergasi’ ini terus kekal di habitatnya.

Monday, 27 April 2015

Puaka Niring : Misteri Wira Ksatria Baja Hitam Muncul Semula Di Jepun????


Kamen Rider yang pernah popular menerusi stesen TV negara kita awal 1980-an lalu dengan nama ‘Ksatria Baja Hitam‘ ternyata tidak hanya sekadar watak wira yang muncul di kaca televisyen atau layar filem.

Di Jepun, susuk lelaki gagah pembela kebenaran menjadi sensasi apabila pengguna media sosial tempatan kecoh mendakwa berjaya merakamkan aksi hero ini menunggang motosikal seolah-olah karakter ini benar-benar wujud.

Malah dilaporkan kerja lelaki ini menyerupai watak wira berkepala belalang, Taksehi Hongo dalam siri fiksyen adaptasi manga popular Jepun tersebut iaitu membanteras kejahatan dan mengejar pemandu mabuk di jalanan.



Namun akhbar-akhbar tempatan melaporkan, satria misteri tersebut sebenarnya ialah seorang sami agama Shinto bernama Shinjiro Kumagai yang setiap hari sang pahlawan bertopeng itu mencari pesalah di kota Kitakyushu.

Dia hanya melakukan kerja amal tersebut setelah selesai tugas rutin hariannya membuat patung daripada bahan aluminium selain menyelia kuil Shinto Gokurakuji di kota utara wilayah Fukuoka di Pulau Kyushu itu.

Ini bermakna kelibat Kamen Rider hanya muncul dari lewat petang sehingga subuh keesokan hari kerana selepas waktu itu, Kumagai akan sibuk semula dengan pekerjaan hakikinya di rumah ibadat penganut Shinto tersebut.



“Saya sangat fanatik dengan watak Hongo sebagai Kamen Rider 1 yang menjadi idola saya,” ujarnya dengan turut dibantu beberapa anggota pasukan polis peronda trafik bandar raya Kitakyushu memburu pesalah lalu lintas.

Jangan bimbang, berbeza dalam siri Ksatria Baja Hitam apabila si penjahat dimusnahkan, sebaliknya pemandu kenderaan yang ditangkap Kumagai tidak akan dibunuh kejam, sebaliknya diserahkan kepada pihak polis.

“Dia sangat berdedikasi. Anak-anak kami bahkan suka melihatnya keliling kota waktu malam. Bayangkan jumlah pesalah trafik di sini pun turun kerana aksinya,” kata seorang penduduk tempatan bernama Kageki Umeta.

Kos pembuatan kostum Kamen Rider 1 dan mengubah suai motosikal menjadi mirip sang pahlawan fiksyen itu memang mahal, namun Kumagai mengaku secara jujur, dia tidak banyak mengeluarkan wang poket sendiri.

Mujur, pengelola kuil membantu dirinya membiayai kos operasi supaya dia boleh memberi fokus dalam menjalankan tugas sukarelawan sebagai satria baja hitam tersebut dengan lebih efektif dan optimum.

“Ketua pendeta kuil, tuan guru Fukumitsu, secara kebetulan juga menjadikan Kamen Rider 1 dan 2 sebagai idola. Tetapi kerana faktor usia, dia ingin saya sendiri menjalankan tugas ini bagi pihak dirinya,” kata Kumagai.

Kamen Rider sebanyak 98 episod pernah menjadi fenomena kanak-kanak di seluruh dunia apabila disiarkan stesen televisyen selain lapan sekuel filem tersebut ditayangkan di pawagam.

Monday, 12 January 2015

Puaka Niring : Misteri Ikan Keli Emas Terperangkap Dalam Bubu???




SARATOK – Seekor keli berwarna oren keemas-emasan jauh berbeza berbanding keli biasa terperangkap dalam bubu Kasum Ringkai atau lebih dikenali dengan nama Apai Rickey.

Katanya, sepanjang usianya mencecah 50-an dia tidak pernah melihat keli berwarna keemas-emasan malah penemuan keli unik itu turut menarik perhatian penghuni Rumah Buchai, Kecoh, 30 kilometer dari pekan Saratok.

“Semua penghuni warga emas di rumah panjang kami mengaku tidak pernah melihat keli sedemikian rupa. Ia terperangkap dalam bubu yang saya letak di paya belakang rumah panjang kami,” katanya.

Cerita Apai Rickey lagi, paya itu dipanggil Sungai Rarong oleh penduduk setempat memang jadi lokasinya untuk meletak bubu ikan yang dipanggil bubu duduk.

“Berpuluh-puluh ekor ikan keli, haruan, toman serta beberapa jenis ikan air tawar lain di paya ini.Menggunakan kaedah bubu duduk ini berumpankan biji sawit dan ubi, saya memperoleh banyak hasil.

“Tetapi seminggu lepas, sewaktu saya memeriksa bubu duduk yang di paya ini, saya terkejut terlihat seekor ikan berwarna keemas-emasan terperangkap dalam bubu bersama dua ekor keli lain,” kata Apai Rickey ketika ditemui semalam.

Pada mulanya, kata Apai Rickey, ada rasa takut dan ragu-ragu mengeluarkan ikan pelik itu kerana warnanya agak berbeza berbanding keli biasa.

Didorong perasaan ingin tahu, dia memberani diri menangkap dan membawa ikan itu balik ke rumah panjang untuk dikongsi bersama penghuni rumah panjang mereka.

“Rata-rata warga emas di sini sependapat, inilah kali pertama dalam hidup mereka melihat ikan keli seakan-akan ikan emas.

Mereka menyarankan saya memeliharanya kerana mungkin ada hikmah tersembunyi di sebalik penemuan ini,” katanya.

Menurut Apai Rickey, ikan keli itu bersaiz lengan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, panjangnya pula sekitar 30 sentimeter.

Tambahnya, setelah dinasihat bapanya, dia memelihara keli emas itu dengan meletakkannya di dalam tong air di bilik mandi mereka.

“Saya memberi makanan biasa seperti biji kelapa sawit, cacing serta serangga. Dan, ikan keli ini menjadi tumpuan sebab ramai yang datang melihat,” jelasnya.

Berikutan tersebarnya berita tentang penemuan ikan keli yang pelik tersebut, beberapa penduduk Cina dari Sarikei datang dan menawar harga tertentu, namun tawaran itu terpaksa ditolak.

“Kami sekeluarga tidak pasti sama ada akan terus memelihara, melepaskan atau sebaliknya,” kata Apai Rickey dalam nada yang kebingungan. – UB

Wednesday, 24 September 2014

Puaka Niring : Mumia Tergantung Dalam Rumah????


HASRAT seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun untuk mengetahui kisah mengenai sebuah rumah tinggalan yang dipenuhi semak samun di Dayton, Ohio, dikejutkan dengan penemuan mumia yang tergantung di dalam almari rumah terbabit.

Identiti mumia tersebut disahkan sebagai Edward Brunton, 53, yang mati akibat menggantung diri.

Mayat tersebut difahamkan berada di rumah tersebut selama lima tahun.

Ibu kepada kanak-kanak itu, Michelle McGrath berkata, anaknya yang dalam ketakutan memberitahu bahawa dia menjumpai mumia di dalam rumah tinggalan itu.

“Pada mulanya, dia ingat ia hanyalah patung. Saya pelik mengapa jiran mangsa tidak terhidu bau busuk dari rumah Brunton ,” kata McGrath.

Brunton membeli rumah tersebut pada 2009 dan seorang koroner mengesahkan beliau meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Siasatan polis telah dilakukan tetapi Brunton dipercayai membunuh diri.

Wednesday, 17 September 2014

Puaka Niring : Misteri Penduduk Kuantan Terkejut Lihat ‘Puting Beliung’???


Penduduk Kuantan yang berada di Pantai Teluk Cempedak dikejutkan apabila melihat air laut kelihatan bergulung dan berpusar bersama angin kencang.

Hal ini menimbulkan ketakutan kerana ia seakan-akan puting beliung yang sedang melanda.

Bagaimanapun, fenomena ini sebenarnya digelar ‘waterspout’ atau belalai air yang biasa berlaku di lautan.

Penghujung tahun lalu, fenomena waterspout turut dirakamkan berlaku di Pantai Lido, Johor dan menimbulkan ketakutan orang ramai kerana menyangka ia puting beliung.

Belalai air tidak perlu dibimbangi kerana ia tidak menyebabkan angin kencang dan akan lenyap begitu sahaja tidak seperti puting beliung.

Tuesday, 9 September 2014

Puaka Niring : Pelancong Terkejut Jumpa Hantu Pada Tingkap Penjara Alcatraz...


CALIFORNIA – Seorang pelancong dari Britain terkejut selepas mendapati gambar yang dirakamkannya di tingkap bekas penjara Alcatraz, mengandungi imej `hantu’, ketika mengadakan lawatan ke penjara itu pada bulan April lalu.

Penjara Alcatraz dikategorikan sebagai antara tempat paling berhantu di Amerika Syarikat, meskipun pihak berkuasa di penjara itu menafikannya.

Imej hantu itu dirakamkan Sheila Sillery-Walsh dari Birmingham melalui iPhone 5c miliknya ketika melawat bekas penjara kosong tersebut bersama kekasihnya, Raul Rice, lapor ABN News.

“Alcatraz adalah tempat yang perlu dilawati oleh pelancong. Bagaimanapun sebaik sahaja kami masuk ke dalam penjara itu, saya mula berasa seram dan tidak selesa berada di situ.

“‘Saya kemudiannya mengambil gambar dalam penjara, namun terpandang wajah seorang wanita di dalam gambar berkenaan dan ketika melihat di tingkap itu, tiada siapa di dalamnya.
“Saya tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan mengenai perkara ini, namun selepas melihat imej berkenaan, saya tidak berminat lagi dengan lawatan itu,”’ katanya.

Gambar itu menunjukkan imej wanita berambut panjang dan memakai pakaian dari era 1930-an.

Mereka cuba mengesan identiti wanita terbabit dengan menghubungi kakitangan di situ, namun tiada siapa yang mengenalinya.

Penjara Alcatraz merupakan penjara yang dikawal rapi dan beroperasi dari 1934 hingga 1963.

Meskipun pihak berkuasa di Alcatraz menafikan laporan bahawa penjara itu berhantu namun beberapa bekas pengawal penjara dan anggota renjer pernah berdepan dengan kejadian paranormal di penjara ini.

Sumber : KLPost

Thursday, 28 August 2014

Puaka Niring : Misteri Pancaran Hijau Di Perairan Thailand Jadi Tanda Tanya???


BANGKOK – Pancaran cahaya hijau yang kelihatan dari perairan Bangkok telah membingungkan seorang angkasawan, Reid Wiseman, yang merakamkan gambar berkenaan semalam.

Beliau kemudian telah memuat naik dalam twitter dengan tajuk ` Bangkok adalah bandar yang bercahaya. Cahaya hijau di luar bandar? Tiada idea.

Wiseman berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISIS) merakamkan imej berkenaan lebih 320 kilometer dari bumi dengan pancaran cahaya hijau itu kelihatan dengan jelas dari angkasa lepas.

Pelbagai teori dikemuakan termasuk makhluk asing, sisa buangan nuklear dan rumpai laut namun NASA mendakwa ia lebih kepada bot nelayan.

Cahaya hijau dari lampu LED itu digunakan untuk menarik perhatian sotong dan hidupan laut lain ke darat.

Berdasarkan artikel Pemantauan Bumi NASA pada Oktober 2013 oleh Michael Carlowicz, nelayan dari Amerika Selatan dan Asia Tenggara menggunakan cahaya untuk menarik plakton, ikan dan sotong ke permukaan air.

“Bot mencandat sotong ini mempunyai beratus-ratus lampu yang menghasilkan 300 kilowatt bagi setiap bot,’’ kata Carlowicz.

Saintis mula mengesan cahaya berkenaan di laut pada penghujung 1970-an dan 1980-an ketika menggabungkan peta bumi pada waktu malam.

Tuesday, 19 August 2014

Puaka Niring : Gambar Didakwa Bukti Duyung Benar-Benar Wujud Tersebar


Apabila disebut duyung, ia merujuk kepada perempuan berwajah cantik namun berbadan ikan.

Oleh sebab tidak ada bukti sahih duyung benar-benar wujud meski pun ia diceritakan dalam banyak kisah penglipur lara di banyak negara, duyung dianggap cuma mitos dan watak rekaan semata-mata.

Bagaimana pun sejak awal bulan ini, beberapa keping gambar didakwa menjadi bukti kewujudan duyung telah tersebar di laman-laman siber dan giat dikongsikan di Twitter seluruh dunia.


Di Malaysia, gambar-gambar ini juga sudah mula beredar di laman sosial. Bagi ‘menyedapkan’ cerita ada pula yang pandai-pandai berkata duyung ini ditemui terdampar di Pantai Kudat, Sabah.





Bagaimana pun selepas gigih melakukan carian di internet, didapati bangkai duyung ini sebenarnya cuma arca untuk penggambaran filem Pirates of the Caribbean On Stranger Tides (2011).

Ia dihasilkan oleh juru solek inovatif terkenal Hollywood, Joel Harlow.


Harlow telah diberi tanggung jawab menyolek banyak watak aneh dalam filem Hollywood termasuk How the Grinch stole Christmas, A.I. Artificial Intelligence, Planet of the Apes, Constantine dan Pirates of the Caribbean: The Curse of the Black Pearl.

Ramai yang berharap duyung adalah kisah benar namun sehingga ke hari ini terimalah hakikat bahawa kesemua bukti tentang duyung masih diragukan kesahihannya.

Begitu pun kewujudan duyung tidak boleh ditolak kerana mungkin kita yang masih belum menemuinya.

Tuesday, 17 June 2014

Puaka Niring : Pontianak Lepak Dekat Pondok Tol LEKAS???


Kalau nak kata betul, sekarang ni budak-budak pun dah pandai edit gambar.

Tapi gambar makhluk memakai baju putih dan berambut mengurai atau lebih dikenali sebagai pontianak berdekatan pondok tol ini giat dikongsikan di laman sosial.

Ada yang kata kejadian dirakam di Tol LEKAS namun kesahihannya tidak dapat dipastikan.

Satu yang pasti, selain manusia memang ada makhluk lain di dunia ini yang kalau boleh kita tak nak nampak dia.

Saturday, 7 June 2014

Puaka Niring : Kubur Di Tengah Restoran Jadi Tarikan..


India – Sebuah restoran di Ahmadabad terus menarik perhatian ramai meskipun di dalam restoran itu terdapat sebuah makam purba dipercayai milik seorang ahli sufi berpengaruh.

Restoran yang dinamakan sebagai New Lucky Restaurant itu menjadi tarikan bagi golongan tua serta muda.

Menurut pemiliknya, Krishnan Kutti, kubur berkenaan memberikan tuah kepada restorannya disebabkan keunikannya tersendiri selain memberikan pengalaman baru kepada pelanggan.

“Kami mengekalkan kubur ini di sini malah pelanggan juga tidak kisah dengannya,’’ katanya.

Setiap pagi Kutti bersama pekerjanya akan membersihkan kubur berkenaan dan meletakkan bunga sebagai tanda penghormatan.

“Kami memulakan operasi dengan memberikan penghormatan. Kami bersihkan kubur ini. Adalah penting untuk menghormati orang yang sudah meninggal dunia,’’ katanya.

Bagaimanapun Kutti tidak mengetahui pemilik kubur berkenaan manakala sesetengah penduduk pula mendakwa ia adalah kubur kepada pengikut ahli sufi berkenaan.

Friday, 6 June 2014

Puaka Niring : Misteri Kesan Tapak Kaki Gajah, Bukan Bigfoot????


Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri mengesahkan bahawa trek yang didakwa sebagai trek Bigfoot yang ditemui berhampiran kawasan Endau -Rompin di sini sebenarnya milik sekumpulan gajah.

Pengarah Perhilitan negeri Hasnan Yusop berkata pegawai-pegawainya telah mengkaji corak trek berkenaan dan membuat kesimpulan bahawa ia telah dilakukan oleh kumpulan gajah (pachyderms).

“Bentuk tirus memanjang terhasil apabila gajah berjalan balik ke belakang dan ini mewujudkan pertindihan pelbagai tapak kaki yang berada dalam kedudukan yang hampir sama,” jelasnya.

“Ini menyebabkan bentuk jejak gajah yang biasanya bulat kelihatan berbeza.”

Hasnan berkata pegawai-pegawainya juga telah menemui najis gajah berhampiran trek.

“Ini membuktikan teori kami,” kata beliau sambil menambah tiada lagi kajian dapat membuktikan kewujudan Bigfoot.

Hasnan berkata jabatan itu tidak menerima apa-apa maklumat tambahan mengenai kesan tapak kaki haiwan.

“Kami akan terus memantau kawasan itu,” katanya.

Minggu lepas, Sia Chwee Khim , 64, dan suaminya Lim Teong Kheng, 66, kedua-dua pesara, menemui kesan tapak kaki yang luar biasa besar semasa dalam perjalanan dengan kawan-kawannya di hutan simpan itu pada 10 Mei.

Penemuan mereka mendorong spekulasi kewujudan Bigfoot yang sehingga kini menjadi mitos.

Monday, 12 May 2014

Puaka Niring : Rakaman CCTV Didakwa Serigala Jadian???


Serigala jadian adalah makhluk yang biasanya hanya dilihat dalam filem-filem seram.

Namun rakaman CCTV di Sao Gocalo de Compos, Bahia, Brazil baru-baru ini mencetuskan tanda tanya jika serigala jadian benar-benar wujud.

Video berdurasi 44 saat itu dikatakan menyokong cerita seorang lelaki tempatan bernama Pinto yang sebelumnya mendakwa dia diterkam oleh serigala jadian namun dapat melepaskan diri.

Pinto menggambarkan makhluk tersebut berwarna hitam dan setinggi 5 kaki.

Dakwaan Pinto yang pada mulanya dijadikan mainan akhirnya membuka cerita beberapa saksi lain yang turut mendakwa terlihat makhluk menyerupai serigala jadian ini di kawasan sekitar sekaligus menjadi berita hangat dalam kalangan penduduk.

Susulan itu, kerajaan tempatan mengesyorkan agar penduduk tidak keluar dari kediaman mereka selepas jam 9 malam sementara kewujudan makhluk ini disiasat.

Monday, 5 May 2014

Puaka Niring : Misteri Rampasan Kapal Terbang Boeng 727 Pada Tahun 1971??? #MH370


Kisahnya bermula sekitar sambutan Thanksgiving, 24 November 1971. Seorang lelaki membawa sebuah beg menghampiri kaunter tiket penerbangan Northwest Orient Airlines dan kemudiannya membeli tiket sehala penerbangan 305, trip pernerbangan 30 minit ke Seattle, Washington, Amerika Syarikat. Lelaki itu kelihatan biasa sahaja penampilannya, seperti seorang ahli perniagaan gayanya. Beberapa ketika selepas pesawat 305 tersebut berlepas, ia dikhabarkan telah dirampas oleh lelaki itu!

Ketika menghampiri jurujual tiket Northwest Orient Airlines pada petang itu, lelaki tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Dan Cooper. Semenjak itu D. B. Cooper adalah nama yang sangat popular untuk merujuk kepada lelaki yang tiada siapa tahu identiti dia yang sebenarnya, yang telah merampas sebuah pesawat Boeing 727 tersebut.

Dia telah merampas pesawat tersebut ketika pesawat itu sedang terbang di ruang udara antara Portland, Oregon dan Seattle, Washington. Dia kemudiannya meminta wang sebanyak USD200 000 dan payung terjun. Nasibnya kemudian tidak diketahui selepas dikatakan terjun daripada pesawat tersebut. Kes rampasan ini kekal tidak dapat diselesaikan dan antara kes rampasan pesawat paling 'bizarre' dalam sejarah Amerika.

Rampasan Pesawat Boeing 727 penerbangan 305 itu bermula kira-kira ia dalam suku perjalannya ke Seattle, Washington. Dan Cooper telah menyerahkan satu nota kepada Florence Schaffner, seorang pramugari. Pada mulanya Schaffner menyangka ianya hanya satu nota temujanji yang ditulis seorang ahli perniagaan yang sunyi, lantas dia memasukkan nota tersebut ke dalam tas tangannya. Cooper kemudian dengan tenang merapati Schaffner sambil berbisik ' Cik, sebaiknya awak perlu membaca nota itu terlebih dahulu, saya ada bom".

Nota kecil yang ditulis kemas dengan semua huruf besar itu tercatat:

"SAYA ADA BOM DI DALAM BEG BIMBIT, SAYA AKAN MENGGUNAKANNYA JIKA PERLU. SAYA MAHU ANDA DUDUK BERSEBELAHAN SAYA. PESAWAT INI SEDANG DIRAMPAS".

Monday, 28 April 2014

Puaka Niring : Kisah Benar Di Sebalik Tragedi Tenggelamnya Kapal TLDM KD Sri Perak


Masih ingatkah tentang tragedi tenggelamnya kapal TLDM KD SRI PERAK? Salah seorang anak kapal yang terselamat....

BEKAS anggota tentera laut, Ismail Abdul Aziz, 54, mahu membukukan pengalaman getir 72 jam yang dilalui oleh mereka yang terselamat apabila kapal KD Sri Perak tenggelam di Laut China Selatan 28 tahun yang lepas.


"Saya memang suka menulis. Sekarang saya coretkan catatan pengalaman hidup-mati di laut dalam blog saya dan saya harap dapat membukukannya satu hari nanti," kata bekas anggota tentera Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu.

Buku yang mahu dinukil oleh Ismail menyingkap kembali sejarah hitam membabitkan kapal peronda KD Sri Perak, yang tenggelam berdekatan Pulau Natuna dan mengorbankan tiga anak kapal.

Bekas Laskar Kelas 1 itu membuka bicara bersama penulis dengan berkata pengalaman yang bermula pada tanggal 8 Jan, 1984 adalah sesuatu yang tidak akan dilupakan sampai ke akhir hayat.

Walaupun meninggalkan dunia ketenteraan pada 1990, namun Ismail atau lebih mesra menggelarkan dirinya Pak Mail, setiap detik cemas semasa tenggelamnya kapal itu dan pengalaman 72 jam atas pelampung menanti bantuan tiba masih segar dalam ingatan Ismail bagaikan baru saja berlaku.

Sesekali dahinya berkerut apabila menceritakan saat-saat berhadapan dengan maut di tengah-tengah laut yang luas.

HARI KEJADIAN
Pelayaran KD Sri Perak bermula pada 6 Jan, 1984 daripada Pangkalan TLDM di Lumut dengan kapal itu belayar secara konvoi bersama-sama KD Sri Terengganu dan KD Hang Tuah ke Labuan. Ismail adalah antara 29 anggota, pegawai dan pegawai kadet di atas kapal malang itu dan beliau bertugas sebagai pengawal radio.

Separuh daripada anak kapal KD Sri Perak adalah muka baru termasuk Ismail yang baru melaporkan diri pada akhir 1983. Malah Pegawai Memerintah (PM) Kapal, Lt Chandran dan Pegawai Laksana Lt Madya FuadIthnin juga baru ditugaskan atas kapal itu.

Sunday, 27 April 2014

Puaka Niring : Nampak Hantu Naik Bas, Habis Penumpang Bas Histeria!!!


Seramai 27 pekerja sebuah pasar raya besar di Ipoh gempar apabila enam rakan mereka berusia lingkungan 18 ke 28 tahun diserang histeria ketika berada dalam bas dalam perjalanan ke tempat kerja.

Kejadian kira-kira jam 9 pagi itu menyebabkan pemandu bas terpaksa memberhentikan bas yang dalam perjalanan dari Kamunting ke Ipoh itu di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak kerana keadaan dalam bas semakin kelam-kabut.

Saksi yang enggan dikenali ketika ditemui berkata, kejadian bermula ketika bas itu berada di Bukit Gantang apabila salah seorang daripada mereka menjerit dipercayai mengalami histeria dan keadaan semakin teruk apabila beberapa penumpang lain turut mengalami gangguan sama.

Salah seorang penumpang bas pula berkata, dia ada terlihat kelibat lembaga hitam masuk ke dalam bas semasa dia berseorangan dalam bas tersebut kerana menunggu rakan lain ketika di Kamunting.

Begitu pun, dia tidak mengesyaki apa-apa pada waktu itu kerana beranggapan mungkin tersalah pandang atau mungkin perasaannya sahaja.

“Bila saya lihat rakan-rakan saya mengalami histeria, saya yakin kelibat yang saya nampak pada awal pagi tadi ada kena mengena dengan insiden yang berlaku hari ini (semalam).

“Kejadian berlaku semasa kami dalam perjalanan ke tempat kerja. Mula-mula seorang saja kemudian berjangkit ke orang lain pula,” katanya.

Seorang lagi penumpang bas berkata, sebelum kejadian, salah seorang mangsa ada bercerita tentang kisah hantu dan memberitahu rakannya pernah mengalami histeria.

Thursday, 24 April 2014

Puaka Niring : Hantu Dirakamkan Lari Tembusi Tembok Stadium Bolasepak????


Bolivia – Peminat bola sepak di negara ini telah dihantui dengan `hantu stadium’ yang dirakamkan oleh televisyen ketika pertandingan bola sepak diadakan di Stadium Hernando Siles di La Paz, minggu lepas.

Imej yang dirakamkan itu menunjukkan bagaimana `hantu’ itu berlari laju menembusi penonton dan juga tembok di stadium berkenaan.

Rakaman tersebut telah tersebar di internet dengan pelbagai teori telah diberikan.

Apa pun ia merupakan situasi yang tidak dapat dijelaskan.

Perkara ini bukan kali pertama berlaku di stadium bola sepak di negara Amerika Selatan.

Sebelum ini di Venezuela, dalam pertandingan bola sepak antara Venezuela menentang Colombia, imej `hantu’ dirakamkan berjaya menampan bola menyebabkan bola terkena tiang gol.

Sesetengah penduduk percaya ia adalah roh kepada Presiden Hugo Chavez yang berjaya menyelamatkan beberapa cubaan gol tersebut.

Wednesday, 23 April 2014

Puaka Niring : Hantu Dirakam Cuba Ambil Gambar Selfie????




Selfie atau mengambil gambar sendiri kini menjadi kegemaran semua orang tanpa mengira usia, di seluruh dunia.

Tapi siapa sangka, trend ini turut diikut oleh ‘makhluk lain‘. Tak percaya?

Saksikan gambar di bawah dan penerangannya:



(Beberapa bulan lalu sepupu kepada kawan saya membeli sebuah telefon bimbit baru. Satu hari selepas balik kerja dia meletakkan telefon tersebut di atas meja lalu mula menonton televisyen.
Anaknya datang lalu meminta untuk bermain dengan telefon bimbit tersebut. Dia membenarkan dengan syarat jangan menelefon sesiapa atau membuka mesej.
Sekitar 11.20 malam dia mula berasa mengantuk lalu ke bilik anaknya untuk memeriksa. Ternyata anaknya tiada di situ.
Rupa-rupanya si anak tertidur dalam biliknya dengan telefon masih di tangan. Dia mula memeriksa jika ada perubahan dilakukan anaknya pada telefon bimbit.
Didapati, hanya perubahan kecil dilakukan seperti menukar gambar latar. Seterusnya dia membuka bahagian ‘Pictures’ dan mula memadam gambar-gambar yang diambil. Hinggalah apabila tiba di gambar terakhir, dia tersentak…
Gambar itu menunjukkan anaknya sedang tidur di atas katil tetapi diambil oleh ‘orang lain’. Separuh daripada wajah pengambil dapat dilihat dan menyerupai wajah perempuan tua!)

Seram tak?

Kewujudan makhluk selain manusia memang sesuatu yang tidak dapat dinafikan. Tapi sama ada gambar dan cerita di atas benar, wallahu’alam.

Friday, 18 April 2014

Puaka Niring : Rakaman ‘Kereta Berhantu’ Di Rusia Menjadi Viral???


Sebuah video yang dikatakan memperlihatkan sebuah kereta berhantu kini menjadi viral di media sosial.

Rakaman yang dimuatnaik di YouTube ini menunjukkan kejadian di jalanraya Rusia di mana sebuah kereta tiba-tiba muncul secara misteri lalu meluncur laju secara terus di persimpangan lampu isyarat yang sibuk.

Apa yang menakjubkan, tidak ada kereta yang terlanggar kereta tersebut sedangkan ia berada di laluan yang salah kecuali sebuah BMW yang hampir merempuhnya namun berhenti tepat pada masa.

Wanita yang merakam iaitu penumpang kereta di belakang BMW tersebut dapat didengar menjerit ketakutan melihat perkara ini.

Walaupun ada yang mendakwa ada penjelasan bagaimana kenderaan dalam rakaman ini tiba-tiba muncul namun ramai juga mengakui terkejut dan berasa seram menyaksikannya lalu berkongsi video ini hingga ia mendapat tontonan lebih sejuta kali

Monday, 24 March 2014

Puaka Niring : Dubai Haram ‘Terapi Puntianak’???


Pihak berkuasa Dubai mengharamkan rawatan kecantikan yang menggunakan sel darah pelanggan untuk mengekalkan keremajaan wajah.

Prosedur platelet kaya plasma (PRP) itu dikenali sebagai rawatan wajah puntianak dan popular di kalangan pelanggan di banyak spa dan klinik di bandar raya itu.

Pembantu Pengarah Jabatan Kesihatan di Pihak Berkuasa Kesihatan Dubai (DHA), Dr Laila Mohammad Al Marzouqi mengesahkan PRP diharamkan.

“Ia satu bentuk prosedur baru dan perlu dikawal selia seperti prosedur kosmetik atau terapeutik lain untuk memastikan keselamatan pesakit, yang menjadi keutamaan kami,” katanya.

Pengurus operasi Klinik Dermalase di Dubai, Natasha Bennett, berkata beliau berhenti menawarkan rawatan berkenaan di kliniknya berikutan arahan itu.

Suntik ke wajah Namun sebahagian klinik di Bandar Raya Penjagaan Kesihatan Dubai terus menawarkan rawatan berkenaan, dengan berkata mereka tidak tertakluk dengan garis panduan DHA.

Rawatan PRP adalah prosedur selama sejam yang memerlukan pakar terapi mengambil darah daripada kulit pesakit dalam dua hingga empat tiub. Ia kemudian diletakkan dalam mesin emparan yang memisahkan sel darah merah daripada plasma dalam darah.

Plasma dikumpulkan dalam 12 hingga 14 jarum suntikan dan disuntik ke wajah pesakit. Harga purata bagi satu sesi PRP antara Dh4,000 dan Dh5,000 (RM3,575 dan RM4,469).

Selebriti Kim Kardashian adalah antara yang menjalani prosedur itu, walaupun keberkesanan dan keselamatannya belum dikaji dalam ujian klinikal terkawal.

Thursday, 13 March 2014

Puaka Niring : 5 Nahas Pesawat Yang Masih Jadi Misteri Selain Pesawat #MH370...


Kehilangan pesawat MH370 diakui setakat hari ini, masih jadi satu misteri yang belum mampu diungkap termasuk oleh pakar penerbangan.

Bagaimanapun berdasarkan sejarah, terdapat beberapa kes membabitkan nahas pesawat yang hingga kini masih mencetuskan tanda tanya.

Di bawah adalah lima kes membabitkan kemalangan dan kehilangan pesawat yang belum terungkap sepenuhnya hingga ke saat ini.

Apa pun, didoakan pesawat MH370 tidak akan termasuk di dalam senarai ini dan bakal ditemui pada kadar segera.

1) Amelia Earhart


Kes pesawat hilang yang paling popular melibatkan juruterbang wanita, Amelia Earhart pada 1937. Kali terakhir diketahui, Earhart menerbangkan pesawat bersama penunjuk arah, Kapten Fred Noonan dari Papua New Guinea ke Pulau Howland melalui Lautan Pasifik dalam usaha mencipta rekod mengelilingi glob. Selepas pencarian tidak menemukan sebarang hasil termasuk serpihan pesawat dua enjin yang diterbangkannya, Earhart diisytiharkan meninggal dunia dua tahun kemudian.

2) Air France 447


Hanya enam hari selepas pesawat Air France penerbangan 447 dari Rio de Jeneiro ke Paris terhempas, barulah mayat dan serpihan pesawat ditemui terapung di lautan Atlantik. Manakala kotak hitam pesawat hanya dijumpai dua tahun kemudian pada kedalaman 4,000 meter. Kesemua 228 penumpang maut dalam nahas disebabkan pesawat dipercayai kehilangan altitut apabila sistem autopilot tiba-tiba termati. Indikator kelajuan pesawat dilaporkan mengalami kerosakan ketika kejadian disebabkan cuaca terlalu sejuk namun sesetengah fakta masih dinafikan Air France.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

The True Brothers

The True Brothers