Dato' Sri Ismail Sabri selaku Menteri Pertanian & Industri Asas Tani hari ini telah menunaikan janji beliau empat bulan lepas kepada pesawah Kedah apabila kembali semula ke negeri Kedah untuk menyampaikan sendiri Bantuan Bencana Bagi Tanaman Padi kepada pesawah-pesawah yang terlibat dengan bencana di Dewan Kolej Universiti Insaniah Alor Setar.
Langkah pemulihan selepas bencana perlu dilaksanakan iaitu program pemulihan dan pembangunan semula hendaklah dilaksanakan dengan segera selepas sesuatu kejadian bencana berlaku. Setiap agensi kerajaan, badan berkanun, pihak swasta dan badan-badan sukarela yang terlibat bertanggungjawab dalam melaksanakan penilaian kerosakan serta pemulihan dan pembangunan semula infrastruktur awam di bawah bidang kuasa masing-masing.
Kemarau dan banjir yang melanda negeri Kedah khususnya bagi kawasan-kawasan tanaman padi dalam kawasan pengendalian PPK-PPK telah mengakibatkan kerugian ekonomi kepada petani-petani adalah dianggap sebagai bencana. Oleh itu, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan jabatan / agensi di bawahnya mengambil tanggungjawab dan tindakan yang sepatutnya untuk membantu petani-petani yang terlibat. Pada hari ini sejumlah RM 2,136,216.74 peruntukan bantuan akan diagihkan kepada seramai 1,165 orang petani (1,525.8691 hek.) di kawasan PPK LPP yang terlibat dengan bencana kemarau tersebut.
Hari ini bantuan juga akan turut diberikan kepada petani-petani dalam kawasan PPK MADA yang terjejas akibat banjir sebelum ini melibatkan peruntukan sebanyak RM 1,750,778.832 dengan keluasan 1,134.397 hektar (1,037 orang petani) juga bantuan kepada yang terlibat dengan masalah tanah jerlus seluas 1,029.773 hektar (715 orang petani) dengan peruntukan sebanyak RM 2,724,264.50. Bantuan yang diberikan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban sara hidup petani yang terjejas akibat kekurangan atau kehilangan pendapatan di sebabkan bencana kemarau dan banjir juga masalah tanah jerlus yang dihadapi.
Untuk mengatasi masalah kawasan-kawasan yang di landa kemarau dan banjir, Kementerian Pertanian melalui Jabatan/Agensi di bawahnya bersama-sama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran dari masa kesemasa membuat kajian dan memberi peruntukan untuk memulihkan infrastruktur di kawasan-kawasan yang dikenalpasti terjejas dan ianya akan diteruskan jika akan memberi manfaat kepada golongan pengeluar petani secara keseluruhannya khusus untuk meningkatkan pendapatan mereka dan dapat menyumbang kepada hasil pengeluaran makanan negara.
Untuk mengatasi masalah tanah jerlus di kawasan MADA, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM 4.77 juta pada tahun 2012 dan 2013 untuk menambahbaik sistem saliran di kawasan berkenaan manakala pada tahun 2014 ini telah diperakukan peruntukan sebanyak RM 11.42 juta dan seterusnya untuk tahun 2015 sebanyak RM 13.6 juta. Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap masalah rakyat khususnya yang terlibat di dalam bidang pengeluaran makanan padi dan beras di negeri Kedah ini.
Sektor Pertanian merupakan salah satu sektor penting kerana ia merupakan pembekal makanan kepada penduduk mana-mana negara di dunia ini. Kebolehan sesebuah negara memajukan sektor pertanian di negaranya menunjukkan keupayaan negara tersebut membekalkan makanan yang mencukupi kepada rakyatnya. Oleh yang demikian, negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan juga Belanda tidak meminggirkan pembangunan sektor pertanian di negara mereka malahan ia dimajukan sebagai bidang perniagaan yang berpotensi, berdaya maju dan menguntungkan.
Transformasi yang paling mencabar yang ingin dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian ialah “Jihad Untuk Memerangi Orang Tengah”. Pengusaha di bidang pengeluaran pertanian di negara ini selama ini menghadapi masalah dibelenggu oleh orang tengah. Petani-petani kita telah berusaha mempertingkatkan kuantiti dan kualiti pengeluaran tetapi sebahagian besar hasil keuntungannya di monopoli oleh orang tengah. Disebabkan itu, pendapatan petani masih lagi berada di takuk lama, tidak bertambah. Oleh itu, Kementerian Pertanian sekarang berusaha untuk mengurangkan monopoli orang tengah tersebut dengan pengeluar iaitu petani sendiri menguasai semula rantaian nilai bidang pengeluaran pertanian yang berkaitan. Ini bermaksud penguasaan daripada bekalan input kepada pengeluaran seterusnya pengumpulan hasil, pemasaran, pemprosesan dan lain-lain.
Sebagai contoh di bidang industri padi dan beras, organisasi peladang iaitu Pertubuhan Peladang boleh terlibat di dalam membekal input dan mekanisasi ladang. Petani melaksanakan pengeluaran seterusnya hasil dihantar ke Pusat-Pusat Pengumpulan (Belian) Padi yang dianjurkan oleh PPK dan dipasarkan ke kilang-kilang milik PPK sendiri atau BERNAS. Seterusnya adalah lebih baik lagi terlibat di dalam mewujudkan nilai tambah iaitu pemprosesan ke atas hasil keluaran daripada industri padi tersebut seperti produk-produk makanan dan kraftangan. Inilah yang di sebut sebagai menguasai rantaian nilai sesuatu pengeluaran itu sekaligus dapat mengurangkan penguasaan orang tengah. Usaha seperti ini tidak dinafikan sememangnya menghadapi banyak cabaran dan halangan tetapi sudah sampai masanya ia harus dimulakan, dilaksana dan dimantapkan sehingga berjaya mencapai matlamat yang kita kehendaki.
No comments:
Post a Comment