Jadilah Sahabat Kulaan...

SEWA

SEWA

TRIP

TRIP
PAKEJ TRIP KE KRABBI, HATYAI TERMURAH...

Tuesday, 25 October 2011

Teater Juta-juta Putrajaya : Dijemput Kepada Penggemar Teater...



[Nota: Teater Juta-Juta Di Putrajaya?!!! Yup, ya, insya-Allah. Kenapa saya menyokong mereka? Kerana mereka anak muda berbakat; kerana mereka mempunyai semangat yang tinggi, setinggi angkasa; kerana mereka mempunyai produk yang bagus; kerana ia sebuah karya yang asli dan jujur. Klise pula bunyinya... Benar, ia bukan suatu karya besar. Ia tidak dibintangi selebriti ternama. Ia sekadar cetusan kreativiti dan semangat juang anak muda tentang realiti semasa dan cabaran yang dihadapi mereka. Ia lucu, tetapi tajam menikam. Ia ada segalanya. Ia kontemporari, tetapi ada bangsawan dan ada muzikal. Ia teater dalam teater. Ush, pelik bunyinya... Memang pelik kerana ia bukan tentang siapa yang penting, tetapi lebih mengenai siapa yang tidak penting di dalam sejarah dan berita. Jelasnya bakat dan karya ini bukan sekadar untuk disorok di dalam Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebaliknya ia mesti menjadi karya PERTAMA yang dipentaskan di PUTRAJAYA. Kenapa? Kerana ia BUKAN karya daripada dan untuk MEREKA di puncak sana, tetapi ia karya daripada ORANG MUDA untuk ORANG MUDA seperti anda dan yang perasan muda seperti saya!]

Like fb page Teater Juta-Juta Di Putrajaya http://www.facebook.com/TeaterJutaJuta?sk=wall
Ikuti #TeaterJutaJutaPUTRAJAYA di twitter


FASYALI FADZY (kiri) bersama Fazleena Hishamuddin, Aloy Paradoks dan Anas Ridzuan (duduk).


BIAR tidak ada tempat untuk mementaskan karya seni mereka, itu bukan penghalang kepada kelompok empat anak muda ini untuk terus berkarya. Bagi mereka, asal masih ada lagi khalayak untuk melihat hasil kerja mereka, itu sudah cukup baik.

Tidak pernah mengharapkan pulangan wang berjuta-juta ringgit bila mementaskan teater, mereka tahu tidak semua kelompok masyarakat akan menerimanya.

Wang bukan masalah yang besar asalkan niat untuk memperjuangkan karya seni menjadi kenyataan sudah cukup memuaskan hati masing-masing.

Lantas, peluang yang ada untuk mempersembahkan karya mereka akan dizahirkan melalui teater Juta-Juta yang akan dipersembahkan bermula 21 hingga 25 September ini di Stor Teater DBP, Kuala Lumpur.

Menariknya, pementasan teater Juta-Juta ini hanya menggunakan tiga orang pelakon yang akan bertukar-tukar watak sepanjang pementasan berlangsung. 12 watak yang akan dipertaruhkan oleh mereka yang mengisahkan tentang penggiat teater tanah air.

Mereka yang terlibat termasuklah Aloy Paradoks, Fazleena Hishamuddin dan Anas Ridzuan yang bakal menentukan hala tuju teater ini.

Melihatkan sinopsis asal teater Juta-Juta ini, ia mengisahkan perjalanan seni tiga orang kawan baik yang bercadang mementaskan sebuah teater di panggung Keraton Seni.

Pelbagai perjalanan sukar yang dilalui oleh mereka untuk menarik minat dan sokongan ramai, tapi semua itu tidak semudah yang disangka.

Sedang mereka membuat pembentangan di hadapan Pengarah Keraton Seni, bakal penaja dan pengkritik teater. Lantas kenangan lalu sewaktu mula-mula terlibat dalam bidang ini menggamit memori ketiga-tiga mereka.

Insiden pertikaman lidah, salah menyalah dan bermacam-macam hal lain berlaku sehinggakan memperlihatkan masalah-masalah yang berlaku.

Lantas apa yang bermain di fikiran, apakah benar masalah-masalah yang dipaparkan ini benar-benar terjadi dalam industri teater tanah air kita? Apakah benar untuk hidup sebagai anak panggung itu tidak semudah mana dan memerlukan kesabaran yang cukup tinggi?

Berbicara dengan pengarah teater Juta-Juta baru-baru ini, Fashaly Fadzly tidak menafikan hal tersebut tetapi dalam masa yang sama tidak juga mahu menuduh itu dan ini pada orang-orang dalam industri yang sama-sama menjual bakat yang ada dalam diri masing-masing.

“Kalau nak cakap soal masalah memang sampai bila pun tak habis. Saya hasilkan karya ini bukan kerana nak menyindir mana-mana pihak tetapi anggaplah ia sebagai teater sinikal yang mengisahkan tentang perjalanan seni sekumpulan anak muda sahaja.

“Cerita ini tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau telah mati. Saya buat karya Juta-Juta ini lebih berunsurkan jenaka tetapi bukan lawak sitkom untuk menarik lebih ramai peminat nanti.

“Kalau nak berjaya kita kena berani. Berani bereksperimen dengan watak-watak yang ada, cari di mana kelebihan yang ada untuk dipertontonkan tetapi dalam masa yang sama masih menjaga kualiti karya itu sendiri.

“Saya lebih suka cabar diri untuk tunjuk yang kami juga boleh. Tapi masalahnya apabila untuk menarik orang ramai datang ke panggung. Harus diingat teater bukan untuk orang seni sahaja tetapi untuk semua,” jelas Fasyali lagi.

Nama Fasyali bukan satu nama yang asing dalam industri teater tanah air. Bakat yang ada pada anak muda ini cukup dikagumi bagi golongan muda memandangkan dia sudah berpengalaman mengarahkan beberapa buah teater termasuklah Kotak Hitam, Berani Mati dan Oedipus.

Hampir tujuh tahun bergelumang dalam industri teater tempatan bukan satu tempoh yang panjang jika mahu dibandingkan dengan penggiat yang sudah berusia yang lain.

Namun di sebalik semua itu, dia sudah banyak bertemu dengan pelbagai jenis ragam manusia dan sudah cukup masak dengan perangai segelintir penggiat teater yang cukup ramai itu.

“Pusat pengajian tinggi yang menawarkan kursus teater semakin banyak. Tapi ke mana mereka akhirnya? Itu masalah yang paling besar yang saya lihat.

“Usah tanya apa yang jadi pada mereka selepas habis belajar tetapi tanya adakah mereka mencari peluang sendiri untuk terus menabur bakti dalam industri teater tempatan? Atau ramai yang hanya menunggu peluang sahaja.

“Masalah-masalah ini yang sering berlaku di awal permulaan mereka. Orang teater kena cinta pada bidang ini. Masyarakat kena tonton apa yang dihidangkan. Kalau ini berlaku tidak mustahil dapat menaikkan semula industri ini.

“Berbalik pada teater Juta-Juta ini saya cukup masyarakat akan datang menonton karya ini. Kalau tidak melihat ia sebagai naskah yang besar sekalipun saya akan pastikan yang mereka akan pulang dengan kepuasan,” kata Fasyali tersenyum.

Bagi yang berminat untuk menyaksikan teater ini boleh melayari Facebook/TeaterJutaJuta atau hubungi 012-2789352 untuk maklumat lanjut. Tiket-tiket dijual dengan harga RM20.

Kulaan : sekali-sekala layan teater best gak daripada layan movie kat wayang... cuba ler try tengok... dijamin puas hati sekalipun tidak dipentaskan di Istana Budaya...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

The True Brothers

The True Brothers