Banyak sekali perkara yang boleh kita pelajari daripada Sulalatus Salatin, kesusasteraan historiografi kita. Antara lain, ketika kita berasa rumit untuk memahami mengapakah Pas dan PKR kelihatan akrab dengan Datuk Ambiga Sreenevasan, buku klasik itu pasti membantu.
Saya sebenarnya sejak dulu tertarik kepada watak Raja Mendaliar. Namun, saya sendiri tidak membuat tafsiran. Pada masa lepas, biarpun terdapat kupasan oleh beberapa pengkaji kesusasteraan lama tentang tokoh ‘yang berjasa’ itu, saya sekadar membacanya secara sambil lewa. Saya tertumpu pada teks, bukan kupasan.
Sekarang, setelah berlakunya siri Bersih, dan Ambiga mengambil peranan besar, maka saya teringat kembali kepada Mendaliar. Peranan Ambiga masa kini dan Mendaliar masa lalu tidak sama, tetapi ada keselariannya, dan kedua-duanya berkesan dalam kehidupan bangsa kita.
Perhatikan kisah ini: Seorang yang bernama Kitul bercerita kepada Mendaliar tentang Bendahara yang kononnya hendak merampas kuasa raja Melaka. Mendaliar membawa perkara itu kepada Laksamana. Laksamana mempercayai kata-kata Mendaliar, lalu membawa kisah itu kepada Sultan, dan Sultan menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Bendahara. Jalan cerita yang ringkas ini menunjukkan kuasa Melayu mempercayai Kitul dan Mendaliar.
Jadi, benarlah ada sesuatu yang boleh kita pelajari daripada Sulalatus Salatin. Jalan ceritanya tidak sama dengan jalan cerita Bersih, tetapi tokoh-tokoh hebat seperti Kitul dan Mendaliar itu muncul di tengah-tengah kita kini. Antara kita, tidak besar jumlah yang sedar.
Mungkin Sasterawan Negara pada zaman Melaka (jika ada) menganggap Kitul dan Mendaliar amat baik dan berjasa kepada rakyat dan negara. Sasterawan Negara masa kini sudi menjadi penganjur bersama dengan Ambiga untuk satu kegiatan yang difahaminya sebagai kegiatan bakti murni.
Kisah bagaimana Mendaliar dapat menyesuaikan diri dan berhelah dengan menggunakan pembohongan, dapat kita nikmati dalam Sulalatus Salatin. Kisah itu sesuai dengan zaman itu, iaitu zaman tanpa pilihan raya. Kini, dalam zaman pilihan raya, Ambiga mengetuai Bersih, satu kisah kemodenan.
Bicara yang berasaskan historiografi seperti di atas dapat memperlihatkan sikap dalaman orang Melayu. Akan kita temui bahawa kita mempercayai orang di luar budaya. Ini memudahkan kita faham, misalnya mengapakah orang Melayu bermusuhan sesama sendiri. Bagi saya, penemuan ini adalah akademik.
Oleh sebab semua ini ada dalam Sulalatus Salatin, maka ini bukanlah kisah baru orang Melayu. Saya cadangkan, sesiapa yang mahu memahami dasar fikiran dan perasaan orang Melayu berhubungan dengan orang-orang seperti Mendaliar dan Ambiga, ulangilah pembacaan Sulalatus Salatin. Karya sastera moden tidak mudah sampai ke tahap fahaman demikian, melainkan novel Senja Belum Berakhir karya Azizi Haji Abdullah.
Dalam kalangan orang Melayu, jiwa feudal dianggap ketinggalan zaman, dan jiwa fanatik mentaati orang seperti Ambiga tentulah lebih ketinggalan. Walau bagaimanapun, sebagai rakyat yang maju dan luas pembacaan, kita hendaklah menerima baik cara berfikir bangsa kita, baik feudal mahupun fanatik. Baik atau buruk, ini ialah bangsa kita. Saya teringat baris lagu yang dinyanyikan oleh ibu-ibu di kampung saya, ketika mendodoikan anak mereka: hodoh buruk pun anak mak juga!
Kita tidak dapat menikmati kasih sayang polis kita, kerana kita mempercayai unsur Mendaliar yang terdapat dalam kegiatan Bersih. Ini bukanlah satu cemuhan, tetapi satu pelukisan.
Dalam zaman moden, kita lihat anak-anak muda dipengaruhi oleh si tua bangka dan si tua banker untuk berbuat sesuatu yang di luar impian asal mereka. Saya memahami istilah ‘tua bangka’ sebagai tua yang kurang fikiran, manakala ‘tua banker’ ialah tua yang ada duit. Si tua banker telah memberikan duit belanja kepada sesiapa yang mahu menyertai perhimpunan Bersih.
Saya ingin menegaskan, sejarah kita elok kita hargai dengan penghayatan. Sejarah akan berulang, itu telah disebut-sebut oleh pelbagai pihak. Jika kita faham akan hakikat itu, kita boleh memilih apakah segi yang patut diulangi.
Mengapakah kita memilih untuk mengulangi kisah orang Melayu menindas sesama Melayu? Adakah ini ialah satu takdir yang tidak boleh dielakkan? Jika demikian, teruskanlah. Hidup bangsaku.
Sumber : Sinar Harian
No comments:
Post a Comment