Suhu politik negara dikatakan mengalami peningkatan sejak selepas Pilihan Raya Umum 2008. Salah satu elemen dan kejadian di sebalik suhu politik yang mengalami peningkatan ialah politik sabotaj dan politik ganas. Ada yang melabel sebagai politik agresif.
Sinar Harian Online mengupas perkembangan ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-13. Ikuti penulisan awal mengenainya.
SHAH ALAM - Penganalisis politik melihat perkembangan politik kini dilihat lebih bersikap peribadi dan melangkaui jangkauan politik sebenar.
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, apa yang terjadi kini adalah politik rakus di mana ahli politik berusaha mencari kedudukan.
"Inilah punca berlakunya 'pembunuhan karakter' seperti yang berlaku dalam isu video dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan kontroversi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dikaitkan dengan seorang pelakon dan beberapa isu lagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Amalan politik itu tidak terhenti di situ sahaja. Ceramah parti politik turut diserang. Jentera pilihan raya termasuk bas yang digunakan juga menjadi 'mangsa'.
Menurutnya, isu 'pembunuhan karakter' bukan perkara baru dan pernah berlaku dalam sejarah politik negara cuma tidak menjadi terlalu besar seperti yang berlaku kini.
"Isu 'pembunuhan karakter' pemimpin politik kini seolah-olah menjadi fokus utama masa kini dan ini boleh memberi kesan kepada generasi akan datang.
"Jika fenomena ini terus berlarutan, golongan muda khususnya akan merasa muak dengan politik negara.
"Komuniti senyap masih belum bersuara kerana golongan ini yang dilihat bakal menjadi penentu kemenangan sesuatu parti pada pilihan raya umum nanti.
"Golongan yang membuat kecoh ini hanya segelintir saja dan kita semua mengharapkan suasana politik lebih berhemah dari pemimpin parti politik," katanya.
Tambah beliau, sebagai pemimpin politik, mereka harus menjadi contoh dan rujukan kepada ahli parti terbabit bagi mengelakkan isu yang boleh menjejaskan kestabilan kaum di negara ini.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Ahmad Atory Hussain menyifatkan perkembangan yang berlaku dalam politik negara ketika ini menandakan pilihan raya umum (PRU) semakin dekat.
"Saya menjangkakan PRU kali ini sengit sebab pembangkang banyak kerusi dan sebab itu kita dengar macam-macam perkara berlaku.
"Tidak seperti pilihan raya umum pada 2008 kerana masa itu pembangkang tidak menjangka mereka menang banyak kerusi," katanya.
Mengulas mengenai kekecohan yang berlaku kebelakangan ini beliau berkata, perkara itu boleh dielakkan jika Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerja dengan baik.
"Akan ada percubaan membuat kekecohan yang disebut ejen provokasi, sebab itu peranan polis penting dalam memastikan keadaan sentiasa aman.
"Provokasi mungkin juga boleh dibuat oleh dua pihak iaitu pihak kerajaan dan pembangkang, tetapi perkembangan ini tidak akan membuatkan politik negara menjadi politik ganas pada masa depan," katanya.
Ahmad Atory berkata, beliau yakin keadaan politik negara akan bertambah baik kerana rakyat sudah semakin matang.
"Demonstrasi atau perhimpunan akan terus ada dan kerajaan juga sudah mewujudkan Akta Perhimpunan Aman dan ini satu langkah pendidikan politik yang baik bagi rakyat," katanya.
Mengulas mengenai timbulnya isu skandal seks beberapa pemimpin parti politik tanah air, beliau tidak terkejut kerana fenomena ini bukanlah perkara baru dalam sejarah politik negara.
"Isu seperti pemimpin politik dikaitkan dengan skandal seks bukan perkara baru dan seingat saya pada setiap zaman perdana menteri terdahulu juga pernah timbul isu seperti ini, cuma bagaimana pemimpin terbabit menanganinya.
"Bagaimanapun, fitnah seperti ini jika tidak ditangani dengan cepat boleh mempengaruhi pengundi pada pilihan raya akan datang," katanya.
Ahmad Atory menyifatkan isu seperti itu adalah salah satu risiko menjadi seorang ahli politik dan merasakan akan ada lagi perkara seumpama itu pada masa akan datang.
Kolumnis Sinar Harian yang juga seorang penganalisis politik, Prof Rahman Shaari ketika dihubungi berkata, isu berkaitan politik ketika ini adalah kesan dari kemunculan media baru seperti internet dan mempengaruhi masyarakat dengan bahasa kotor yang digunakan dalam sesuatu isu.
"Kemunculan media baru seperti blog dilihat semakin ketara dan mengatasi pengaruh akhbar arus perdana ketika ini.
"Kalau dulu hendak mengumpul orang ramai mengambil masa lama, tetapi kini apabila seseorang menulis saja di Twitter atau Facebook, sudah ramai yang boleh membacanya dengan cepat," katanya.
Beliau menganggap apa yang berlaku kini ialah serangan media baru.
"Masyarakat pula dilihat mudah terpengaruh dengan apa yang ditulis di blog-blog, YouTube dan mungkin akan terbiasa dengan bahasa kasar seperti 'seks' dan sebagainya.
"Kalau dulu masyarakat kita malu hendak sebut perkataan 'seks', tapi kini apabila ia digunakan secara meluas terutama di media massa, bahasa kasar seperti ini akan menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita," katanya.
Sumber : SinarHarianOnline
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment