Dialah antara artis paling seksi di Malaysia. Sekalipun hanya berkemeja-T, ia sudah cukup membuatkan mata lelaki berpaling ke arahnya kerana gaya nakal dan susuk tubuh yang menggiurkan.
Begitulah pelakon yang pernah digelar 'Pamela Anderson Malaysia'.
Apa yang menarik, artis itu yang meminta agar ejaan nama komersial dirinya diperbetulkan iaitu Lana Nodin dan bukannya 'Lana Nordin', tidak pernah menganggap imej seksi sebagai bonus atau platform pintas untuk menjadi popular sehingga dijolok sebagai 'Pamela Anderson Malaysia'.
"Ada orang cakap saya perasan, menggelarkan diri sebagai 'Pamela Anderson Malaysia'. Walhal gelaran itu dicetuskan oleh kawan-kawan wartawan hiburan yang menulis cerita saya sebelum ini.
"Cuma saya tidak pernah marah kerana faham pemilihan sesuatu tajuk yang menangkap sebagai strategi pemasaran. Apa yang pasti, gelaran itu bukan kerana saya ghairah atau berangan hendak jadi macam bintang Playboy itu.
"Walaupun saya tidak nampak di mana persamaan saya dengan Pamela itu, secara logiknya saya faham 'bahagian mana' pada diri saya yang menyebabkan gelaran itu diberikan orang. Memang saya tidak boleh menghalang tanggapan dan pandangan orang terhadap diri saya meskipun saya akui apabila kerap kali orang membicarakan soal 'bahagian itu', saya jadi rimas! Muak!
"Mana tidaknya, apabila sebut saja nama Lana Nodin, orang bercakap pasal aset tubuh saya dan bukannya bakat," katanya yang mempamerkan lakonan yang mantap dalam filem Chow Kit yang turut bertanding dalam Anugerah Skrin 2012 (ASK2012), baru-baru ini.
Bakal menyambut ulang tahun ke-33 pada 6 Disember ini, Lana yang juga bekas pramugari AirAsia mendakwa ramai lagi selebriti wanita tempatan lain yang melakukan pembedahan kosmetik terhadap tubuh badan, balik-balik hanya dia seorang yang menjadi mangsa percakapan orang.
Sehinggakan kemunculannya menerusi filem terbaru arahan Afdlin Shauki, terbitan Ismail Holdings dan Vision Works Sdn Bhd, Pontianak vs Orang Minyak pun menjadi topik utama.
Topik yang diperkatakan tidak lain tidak bukan mengaitkan aset tubuhnya itu, dadanya yang dikatakan sebagai mangsa eksploitasi dan bahan jenaka dalam filem itu.
"Ada satu babak, saya mengenakan kebaya putih yang memperlihatkan sedikit lurah dada saya, namun mungkin kerana syot kamera yang diambil dari atas menyebabkan ia nampak menonjol. Malah ada juga dialog saya digelar 'Hantu Kopek'.
"Disebabkan babak itu, timbul spekulasi Afdlin seolah mahu mengambil kesempatan atas saya. Saya tak nafikan, masa dapat skrip dan juga baju, saya tanya kepada Afdlin boleh lepas ke babak macam ini. Namun selepas penggambaran, tiada masalah pula kerana babak itu diluluskan Lembaga Penapisan Filem (LPF)," jelas Lana.
Wanita berbintang Sagittarius ini secara peribadi tidak merasakan pengarah itu mahu mengaibkan dirinya di layar perak.
"Kalau ada berpendapat Afdlin cuba mengambil kesempatan kepada saya, saya juga sebenarnya ambil kesempatan terhadap dia dengan menerima watak ini. Apa yang benar, saya mahu sangat timba pengalaman berlakon di bawah Adflin.
"Saya lihat pembabitan saya dalam filem ini sebagai ruang dan peluang untuk saya nak bina karier saya untuk jadi artis serba boleh. Tidak terbatas pada watak penggoda dan atau perempuan jahat semata-mata.
"Adakah Lana Nodin hanya layak untuk cerita-cerita sebegitu daripada memperkatakan bakatnya? Cuba bayangkan kalau saya berlakon dalam drama Hantu Susu seperti yang dibintangi Erra, tentulah isu aset saya itu akan menjadi topik lebih hangat, namun ia tidak pula menjadi isu kepada Erra," katanya.
MENGENALI wanita berbakat ini, dia nyata memiliki karektor pelbagai warna yang jika diasah mahupun diberi peluang, dia mampu menjiwai berbagai karektor yang tidak terhad sebagai watak penggoda semata-mata.
Malangnya, wanita yang dilahirkan dengan nama sebenar Mazlina Hasan Nodin ini tidak diberi peluang melainkan hanya untuk watak penggoda dan pelacur saja.
"Lapan tahun saya bergelar pelakon dan baru sekali saya diberikan peluang membawakan watak berat dan air mata iaitu dalam drama Takdir Qismah yang turut dibintangi Lisdawati.
"Dalam drama ini, saya menerusi watak Rosmah beraksi tanpa solekan, tanpa bulu mata palsu seperti kebiasaannya, selekeh dan asyik menangis.
"Mulanya, saya ragu-ragu nak ambil watak ini kerana Rosmah adalah pelacur. Saya bosan bawa watak sebegitu, tetapi selepas membaca keseluruhan skrip, saya tertarik dengan jalan cerita.
"Maklum balas yang saya terima dalam kalangan kawan-kawan alhamdulillah, cukup baik untuk drama ini. Terima kasih kepada pengarah drama ini, Abang Eoon Suhaimi yang percayakan kebolehan saya.
"Saya benar-benar berharap lakonan saya dalam drama itu mampu membuka mata ramai, tapi saya juga harus akur dengan waktu siaran drama itu pada bulan puasa, jam 4 petang mungkin ramai yang terlepas daripada menontonnya," katanya.
Baru saja tamat daripada penggambaran drama Evolusi KL Drift yang bakal bersiaran di RTM2 sebanyak 52 episod, Lana juga tidak sabar menantikan penayangan Filem Lagenda Budak Setan 2 – Katerina yang menampilkan Maya Karin, Farid Kamil dan Bront Palare sebagai tunjang utama.
"Saya mainkan watak Zahirah pembantu kepada Katerina (Maya) dan cuba merosakkan hubungan antara Katerina dengan Kasyah (Farid). Masih lagi dengan watak menggoda, tetapi saya ambil peluang ini kerana saya sendiri peminat novel yang ditulis Ahadiat Akashah," ujarnya.
Pertemuan petang Selasa itu, Lana turut dikejutkan dengan sekeping gambar di samping anggota kumpulan The Black Eyed Peas iaitu will.I.am, Taboo dan apl.de.ap. Di antara tiga jejaka berkenaan, Lana kelihatan sangat intim dengan Taboo. Tambahan pula, gambar itu dipercayai diambil di majlis 'after party' selepas konsert Justin Timberlake di Opera Sydney House, Australia, beberapa tahun yang lalu sebelum Taboo mendirikan rumah tangga dengan Jaymie Dizon pada 12 Julai 2008.
"Hmmm, banyak juga info yang awak tahu ya? OK saya mengaku saya pernah berkawan rapat dengan Taboo lebih kurang setahun dan lokasi gambar itu diambil juga tepat. Hubungan kami tak berjaya kerana banyak sebab, antaranya dia mahu saya menetap di Amerika Syarikat. Namun Taboo yang saya kenal seorang lelaki yang baik.
"Dia tak merokok dan tak minum. Dulu-dulu dia pernah, tapi selepas keluar dari pusat pemulihan, dia sudah berubah. Dia selalu cakap pada saya, kalau dia ikat rapi rambutnya ke belakang itu maknanya dia 'clean'.
"Kami berkenalan di sebuah 'party' sekitar Kuala Lumpur. Dia minta nombor telefon saya dan keesokannya minta saya temankan dia makan tengah hari. Saya cadangkan beberapa nama restoran yang sedap, antaranya di Shook!
"Saya kemudian mengambilnya di hotel dan tak sangka masa tu semua anggota Black Eyed Peas turut ada sama. Sejak daripada itulah kami jadi lebih rapat," katanya.
Banyak rahsia yang dikongsi, namun hanya sedikit informasi dapat diceritakan Lana kepada umum. Dia enggan mengulas panjang hubungannya dengan Taboo apatah lagi bintang antarabangsa itu sudah berkahwin.
Pernah juga dikaitkan juga dengan seseorang berstatus 'jutawan muda', Lana kini bagaimanapun enggan mengenang percintaan yang berkubur selepas 10 tahun menjalinkan hubungan.
Apatah lagi ketika ini Lana dikatakan sudah menemui pengganti, seorang model terkenal dari Republik Czech, bernama Pavel Michalec, 23.
Pavel bekerja di Agensi Bangkok, Thailand dan hubungan Lana dengan jejaka itu dihidu ramai pihak apabila Pavel sendiri yang menulis nama Lana dalam kotak 'In Relationship' di facebook (fb).
"Apa yang boleh saya katakan, kami sedang berkawan. Selagi tidak terbukti dengan apa-apa ikatan, saya tak anggap hubungan ini sesuatu yang serius. Saya perlu lihat kesungguhan Pavel jika dia mahukan saya, salah satunya mendalami Islam," katanya.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Bapak besonye susu.........ptut la owg ckp pamela anderson
ReplyDelete