Sesi pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sera gempar apabila sekurang-kurangnya 70 pelajar diserang histeria.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang, pelajar lelaki dan perempuan yang terkena gangguan itu, meracau-racau dan lari bertempiaran di sekeliling bangunan sekolah sehingga menyukarkan para guru menenteramkan mereka.
Seorang bapa, Saifullizan Abdullah, 38, memberitahu, kejadian histeria itu sudah berlarutan agak lama dan lebih merisaukan dua anaknya, Emy Syazana, 16, dan Norsyafikah, 13, turut mengalaminya.
Menurutnya, kejadian histeria itu juga sudah berlaku berulang kali malah mengganggu pelajaran dua anaknya itu.
"Sejak kejadian tersebut, sikap kedua-dua anak saya berubah apabila menjadi kuat tidur dan lemah.
"Ketika dirasuk di sekolah, ada sesetengah pelajar didapati tidak sedarkan diri dan ada mendakwa mendengar bisikan yang menyuruh mereka terjun dari bangunan sekolah," katanya.
Saifullizan berkata, paling membimbangkan apabila kejadian pelajar terjun dari bangunan sekolah pernah berlaku dua kali di lokasi yang sama dan salah seorang daripada mangsa maut pada Mei lalu manakala kejadian terbaru pada bulan lalu.
"Saya risau kejadian buruk ini akan mengganggu dua anak saya atau pelajar lain.
"Justeru, saya amat berharap tindakan segera dapat diambil bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.
Seorang pelajar yang enggan dikenali pula berkata, semasa kejadian, pihak sekolah mengambil inisiatif melaungkan azan bagi meredakan keadaan. Bagaimanapun, situasi menjadi lebih buruk apabila para pelajar terbabit dikatakan semakin agresif dan marah apabila mendengarnya.
"Sekolah ini menjadi huru-hara apabila pelajar yang diserang histeria berlari bertempiaran di sekitar sekolah.
"Keadaan menjadi kecoh apabila guru sukar untuk mengawal dan menangkap mereka untuk dibawa ke makmal komputer bagi diberikan rawatan," katanya.
Katanya lagi, situasi itu bagaimanapun kembali tenang apabila pihak sekolah memanggil seorang ustaz untuk memulihkan pelajar terlibat.
"Saya tengok kakak saya yang turut terkena histeria terbaring dan kemudiannya sedar kembali selepas ustaz memulihkan mereka," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Pahang, Rosdi Ismail ketika dihubungi berkata, beliau masih menunggu laporan mengenai kejadian tersebut dan akan menjalankan siasatan lanjut.
"Kita akan siasat kejadian ini selepas menerima laporan daripada pihak sekolah," katanya.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment