Seorang ibu muda terkejut apabila mendapati kandungannya yang berusia hampir lima bulan 'hilang' ketika melakukan pemeriksaan di sebuah klinik kesihatan di Parit Buntar.
Ibu malang itu hanya mahu dikenali sebagai Liza, 30, berkata sebelum menyedari kandungannya 'hilang', jururawat memaklumkan berat kandungan bayinya semakin menurun, namun tidak mengesyaki kejadian buruk.
"Selepas dua minggu berulang-alik melakukan pemeriksaan rutin, jururawat memberitahu bayi dalam kandungan sudah tiada, tetapi saya tidak percaya dan membuat temujanji dengan seorang doktor di klinik swasta, kemudian mengesahkan perkara sama.
"Masih tidak percaya, saya bertemu seorang lagi doktor di Hospital Parit Buntar (HPB) untuk membuat pemeriksaan dan hasilnya tetap sama. Doktor mengesahkan kandungan saya mengecut," katanya.
Liza berkata, kejadian itu menghancurkan harapannya untuk menimang cahaya mata kedua tetapi menganggap ada hikmahnya.
"Saya ada berjumpa bomoh yang memberikan jawapan sama apabila dimaklumkan anak dalam kandungannya diambil orang bunian atau makhluk halus. Penemuan itu bertujuan mendapatkan pandangan dari sudut mistik," katanya.
3 Punca Janin Diculik Makhluk Ghaib
Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Darussyifa' Negeri Perak, Ustaz Zulkifli Zainon, berkata kebanyakan pengamal perubatan Islam memberi tafsiran kes kehilangan janin sebagai penculikan bayi oleh makhluk halus.
Katanya, terdapat tiga punca berlakunya kes iaitu janin diambil atau diculik makhluk ghaib untuk dijadikan makanan, hilang akibat perbuatan sihir dan pembabitan mangsa dengan jin secara langsung atau tidak langsung.
"Hadis Rasulullah SAW menyatakan darah milik janin yang belum sempurna sifatnya disukai jin dan dianggap makanan kegemaran makhluk itu.
"Mengenai pembabitan mangsa dengan jin, kadangkala ada mangsa tidak menyedari dia mewarisi saka dan mengalami kehilangan janin akibat gangguan itu," katanya.
Zulkifli berkata, pihaknya pernah merujuk kes unik seperti itu dan fenomena 'gigitan hantu' kepada doktor perubatan moden dan mereka mengakui fenomena terbabit masih gagal dibuktikan puncanya secara saintifik sehingga kini.
Katanya, sepanjang pengalamannya bersama Pertubuhan Darussyifa', dia turut berdepan fenomena wanita melahirkan makhluk selain manusia meskipun pemeriksaan doktor mengesahkan bayi berbentuk manusia.
"Sebagai umat Islam, kita wajib mempercayai perkara ghaib dan hukum menolak kewujudannya adalah kufur. Bagi pasangan yang kehilangan janin, mereka perlu menganggap kejadian sebagai menzahirkan tingginya kuasa Allah SWT berbanding manusia," katanya.
Bekas PM Israel Ariel Sharon, mati sebentar tadi selepas koma lebih 8 tahun
ReplyDelete