UMUM tahu keadaan politik di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebelum Piliharaya Kecil PRK diadakan menjurus pada 50/50 sekiranya BN dan pembangkang bertembung satu lawan satu.
Berdasarkan majoriti kecil kemenangan BN di kedua-dua parlimen itu pada PRU lalu, pertandingan tiga penjuru samalah seperti menyerahkan kerusi kepada BN. Malah PKR yang agresif mahukan calonnya bertanding satu lawan satu menentang BN di Sungai Besar, memberikan laluan pada calon PAN setelah menyedari Pas meletakkan calonnya.
Pas mendakwa dua kawasan parlimen itu kerusi tradisi parti itu berdasarkan sejarah pilihanraya lalu. PKR terpaksa mengundurkan diri, kerana sedar untuk menang amat tipis dalam pertandingan tiga penjuru.
Apa pun, sebagai balasan untuk tidak memberikan laluan mudah pada Pas, dan waktu yang sama menjaga reputasi PKR, Pakatan Harapan (PH) memberikan laluan pada ayam tambatan PAN turun menyabung nyawa.
PAN terpaksa turun sebagai ayam jaguhan kerana kedudukannya sebagai parti pengganti setelah Pas keluar dan Pakatan Rakyat (PR). PAN mendakwa, penyertaannya penting dalam PRK ini demi agenda menjatuhkan BN. Namun, alasan palsu yang dipertaruhkan PAN sebenarnya meletakkan peluang Ummo semakin cerah untuk mempertahankan kedua-dua kerusi itu.
Mengalahkan BN tidak lagi menjadi penting. PAN turun sebagai pemecah undi untuk menghapuskan peluang Pas meraih kemenangan. Bagi PAN, sekiranya dibiarkan Pas menang, ini akan membuktikan kedudukan parti Islam itu semakin kuat setelah meninggalkan PR. Bagi PAN, ini percaturan penting. PAN harus memusnahkan peluang Pas, walaupun akibatnya BN akan kekal menerajui kawasan itu.
Manakala bagi PKR, ada sebab untuk melarikan diri. Tentu memalukan sekiranya calon parti yang menerajui Kerajaan Negeri kalah di Selangor. Manakala di Perak, alang-alang laluan diberikan kepada PAN di Sungai Besar, eloklah risiko kalah dalam pertandingan itu dipikul PAN. Sebagai parti baharu serpihan Pas, PAN ayam tambatan dalam misi memusnahkan peluang Pas.
Inilah politik Melayu, apabila dendam melampaui strategi. “Kalau aku tak dapat, kau pun takkan dapat!”


