Nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu menggemparkan seluruh rakyat negara ini. Nahas tersebut mengorbankan Ahli Parlimen Sungai Besar yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK), Dato’ Noriah Kasnon; suaminya Tuan Asmuni Abdullah; pengawal Peribadi, Ahmad Sobri Harun; Dato' Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad - Pengerusi MPOB & Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Datuk Dr. Sundaran Annamalai - Ketua Setiausaha KPPK.
Berikutan kematian penyandang dua kerusi parlimen Dato’ Noriah Kasnon dan Dato' Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, masing-masing di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, maka satu Pilihan Raya Kecil bakal diadakan pada 18 Jun ini.
Umum mengetahui, Parlimen Sungai Besar sedang menghadapi pertandingan tiga penjuru yang menyaksikan Barisan Nasional, PAS dan Parti Amanah Negara (PAN) yang bertanding untuk mengisi kekosongan kerusi P093 itu.
Menyoroti peristiwa pada hari penamaan calon pada 5 Jun lalu, banyak kisah menarik yang dapat diperhatikan yang masing-masing memberi bacaan kepada keadaan politik semasa negara.
Antara yang mencuri perhatian adalah kehadiran gerombolan PAN yang diiringi dengan begitu rapat oleh pemimpin tertinggi DAP, Lim Kit Siang.
Jelas senario ini menunjukkan DAP yang dahulunya menafikan sebarang penglibatan dengan PAN, kini tidak segan silu untuk memberitahu kepada seluruh negara bahawa PAN berada di bawah naungan dan tunjuk ajar mereka.
Tindakan DAP ini juga menghantar isyarat kepada pengundi Cina terutamanya di Sekinchan supaya tidak takut dan gentar kerana PAN adalah sama dengan DAP yang menampilkan wajah-wajah orang Melayu.
Ini juga barangkali isyarat yang dihantar oleh DAP kepada Datuk Seri Azmin Ali ekoran kekalahan teruk Pakatan Pembangkang pada Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 kerana tidak dapat menyelesaikan masalah pertindihan kerusi yang akhirnya memudahkan Barisan Nasional untuk memperkukuhkan Sarawak sebagai kubu kuatnya.
PRK Sungai Besar juga, jelas menampakkan krisis dalaman PKR antara Presiden Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya Datuk Seri Azmin Ali gara-gara Wan Azizah awal-awal lagi telah menyatakan sokongannya terhadap calon PAN tanpa merujuk kepada beliau terlebih dahulu selaku Menteri Besar Selangor, negeri tempat pilihanraya tersebut berlaku.
Majlis pra-pelancaran jentera Angkata Anak Muda (AMK), kedengaran suara-suara ahli parti tersebut menyatakan bahawa Azmin Ali tidak menggerakkan jentera PKR untuk membantu calon Pakatan Harapan kali ini.
Senyap-senyap juga kedengaran bahawa Azmin Ali menaja calon PAS untuk mengurangkan sokongan terhadap PAN.
Walaupun Azmin hadir pada penamaan calon, namun beliau dilihat seolah-olah sengaja menjauhkan diri dari Wan Azizah.
Kempen bermula dengan sederhana berikutan masing-masing mahu menjaga sensitiviti bulan Ramadhan di kalangan pengundi Islam.
Namun, sentimen ini tidak kekal lama apabil kesucian bulan Ramadan telah dicemari dengan pemasangan papan iklan fitnah ‘Cina Babi’ yang memaparkan wajah Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Dato’ Jamal Yunos yang kononnya pernah mengatakan tidak salah memanggil 'Cina Babi' kerana sememangnya Cina makan babi.
Ini tidak sepatutnya berlaku kerana jelas melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Tataetika Pilihan Raya yang melarang memaparkan wajah individu yang tidak bertanding dan sebarang poster yang bersifat hasutan dan boleh menimbulkan suasana tegang antara kaum.
Kenyataan Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad yang mengatakan bahawa dia tidak tahu siapa yang memasang papan iklan tersebut adalah satu pembohongan kerana sehari selepas kejadian tersebut, Tony Pua dari DAP telah mengaku bahawa pihaknya yang bertanggung jawab menaikkan papan iklan tersebut.










