Tuan Guru Dato Dr Haron Din tiba-tiba muncul dari ‘pertapaannya’ dan mengulas di sebuah akhbar dengan lantang akan kenyataan Tun Dr Mahathir mengenai isu peribahasa Inggeris bermaksud ‘Lebih baik memilih ‘syaitan’ yang dikenali dari memilih ‘malaikat’ yang tidak dikenali’. Sekian lama kita mencari ke mana menghilangnya tokoh ulama PAS yang suatu ketika amat tersohor ini di kalangan umat Islam. Malah saya juga ketika itu sangat menghormati ketokohan ‘Tuan Guru’ ini. Dato Dr Haron Din mengulas kenyataan itu dengan meminta Tun Mahathir ‘bertaubat’ kerana dianggap menyeleweng dari akidah. Beliau juga mengulas bahawa tiada ayat Al Quran yang ‘menyokong’ kenyataan Tun Mahathir tanpa memahami atau bertanya sendiri dengan Tun Mahathir tentang ucapan tersebut.
Perkara ini juga turut pernah terjadi kepada YAB Perdana Menteri tidak beberapa lama dahulu apabila seorang Mufti mengambil kesempatan ‘membelasah’ Perdana Menteri melalui media kerana isu kehadiran beliau ke satu perayaan keagamaan kaum India. Perkara seperti ini seolah-olah dinanti-nanti oleh golongan ulama untuk mencari-cari salah umara dan kelihatannya seperti mahu mempopularkan diri dan membetulkan keadaan secara terbuka. Justeru saya pun ingin bertanya bagi membetulkan pandangan Dato Dr Haron Din secara terbuka.
Malah dalam isu kenyataan Tun Mahathir, ianya umpama ‘bola tanggung’ yang dinanti-nanti oleh Dato Haron Din untuk muncul dari ‘pertapaannya’ selama ini. Amat menghairankan kerana Haron Din membisu apabila Mursidul Am PAS pada suatu ketika secara terang-terangan menyatakan sanggup bersahabat dengan ‘syaitan’ asalkan ‘syaitan’ sanggup membantu kemenangan PAS. Kenyataan Nik Aziz itu mungkin merujuk kepada DAP, tetapi Haron Din dan penganut PAS bijak pula mentafsir kenyataan tersebut dalam konteks yang lebih terbuka. Sedangkan jika beliau seorang ulama yang adil dan saksama, maka kenyataan Nik Aziz ini jauh lebih dahsyat kerana sanggup memilih ‘syaitan’ sebagai sahabat dari memilih ‘manusia seagama’ sebagai rakan politik dalam memerintah negara. Malah setakat ini belum ada ‘peribahasa Inggeris’ yang ditemui berkaitan kenyataan Nik Aziz itu untuk mempertahankan kenyataan tersebut.
Apakah dalam isu ini Dato Haron Din tidak terjumpa begitu banyak Firman Allah di dalam Al Quran yang melarang manusia memilih dan bersekutu dengan syaitan?. Apakah ulama dan ahli PAS terlupa bahawa syaitan itu musuh kamu yang nyata ? Apakah Haron Din atau ulama PAS mempunyai ‘kekebalan’ dari hasutan syaitan sedangkan Nabi Adam AS pun mampu diperdaya oleh syaitan. Janganlah kita ujub dan takabur seolah-olah dengan ketinggian ilmu yang kita mililik maka kita beranggapan kita ‘berada di jalan yang lurus’. Bagi syaitan yang mempunyai pengalaman luas dan bekas ketua malaikat maka tentulah bukan menjadi masalah untuk meyesatkan keturunan Adam AS termasuklah ulama-ulama atau tok guru apatah lagi manusia marhain seperti kita. Malah perkataan ‘maksiat’ juga merujuk kepada ‘perpecahan dalam masyarakat’ yang secara terang telah dilakukan oleh PAS sejak 1951. Kesan ‘maksiat perpecahan’ adalah jauh lebih besar kepada masyarakat dan ianya boleh dilihat dalam kalangan umat Islam di negara ini.

.jpg)
