Kelibat misteri seorang lelaki separuh bogel didakwa orang minyak muncul kembali di daerah ini walaupun ada yang menganggap gangguan itu sudah berakhir dengan tertangkapnya seorang lelaki berusia 42 tahun, Isnin lalu.
Mangsa terbaru, Sh Nor Akmaliza Tuan Ibrahim, 33, mendakwa melihat manusia separuh bogel berada berdekatan katil dalam bilik tidurnya kira-kira jam 5 pagi, Rabu lalu iaitu dua hari selepas lelaki 42 tahun itu ditangkap pasukan rondaan Rakan Muda.
Ibu tiga anak yang tinggal di Jalan Kampung Machang Lada itu berkata, kelibat manusia dipercayai seorang lelaki yang hanya memakai baju dan berseluar dalam tiba-tiba sahaja muncul dan berada berdekatan katil apabila dia tersedar daripada tidur.
"Saya yang terkejut terus menjerit sekuat hati menyebabkan 'orang' itu lari menuju ke arah tingkap bilik tidur dan terjun keluar sebelum. menghilangkan diri," katanya.
Akmaliza berkata, walaupun dia tidak mengalami sebarang kecederaan, namun bersyukur kerana tiada barang dalam rumahnya hilang.
Namun dia kini mengalami trauma dan takut untuk tidur dalam bilik seorang diri.
"Saya bimbang perkara seperti ini berulang kerana suami sering pulang kerja lewat dan dia (suami) biasanya tidur di ruang tamu.