Kisahnya bermula sekitar sambutan Thanksgiving, 24 November 1971. Seorang lelaki membawa sebuah beg menghampiri kaunter tiket penerbangan Northwest Orient Airlines dan kemudiannya membeli tiket sehala penerbangan 305, trip pernerbangan 30 minit ke Seattle, Washington, Amerika Syarikat. Lelaki itu kelihatan biasa sahaja penampilannya, seperti seorang ahli perniagaan gayanya. Beberapa ketika selepas pesawat 305 tersebut berlepas, ia dikhabarkan telah dirampas oleh lelaki itu!
Ketika menghampiri jurujual tiket Northwest Orient Airlines pada petang itu, lelaki tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Dan Cooper. Semenjak itu D. B. Cooper adalah nama yang sangat popular untuk merujuk kepada lelaki yang tiada siapa tahu identiti dia yang sebenarnya, yang telah merampas sebuah pesawat Boeing 727 tersebut.
Dia telah merampas pesawat tersebut ketika pesawat itu sedang terbang di ruang udara antara Portland, Oregon dan Seattle, Washington. Dia kemudiannya meminta wang sebanyak USD200 000 dan payung terjun. Nasibnya kemudian tidak diketahui selepas dikatakan terjun daripada pesawat tersebut. Kes rampasan ini kekal tidak dapat diselesaikan dan antara kes rampasan pesawat paling 'bizarre' dalam sejarah Amerika.
Rampasan Pesawat Boeing 727 penerbangan 305 itu bermula kira-kira ia dalam suku perjalannya ke Seattle, Washington. Dan Cooper telah menyerahkan satu nota kepada Florence Schaffner, seorang pramugari. Pada mulanya Schaffner menyangka ianya hanya satu nota temujanji yang ditulis seorang ahli perniagaan yang sunyi, lantas dia memasukkan nota tersebut ke dalam tas tangannya. Cooper kemudian dengan tenang merapati Schaffner sambil berbisik ' Cik, sebaiknya awak perlu membaca nota itu terlebih dahulu, saya ada bom".
Nota kecil yang ditulis kemas dengan semua huruf besar itu tercatat:
"SAYA ADA BOM DI DALAM BEG BIMBIT, SAYA AKAN MENGGUNAKANNYA JIKA PERLU. SAYA MAHU ANDA DUDUK BERSEBELAHAN SAYA. PESAWAT INI SEDANG DIRAMPAS".