Nama Mohd Izzat Izzudin Hussin menjadi popular secara tiba-tiba apabila tersebar khabar bahawa dia telah hilang dan mungkin disorokkan makhluk halus selepas memasuki sebuah rumah tinggal dikatakan berhantu dinamakan Villa Nabila di Danga Bay, Johor Bahru pada 16 November lalu.
Khabar itu begitu kuat tiupannya sehingga ia trending di media sosial dan media konvensional juga tidak ketinggalan melaporkannya.
Polis bertindak serius dalam isu itu sehingga menjalankan gerakan dengan bantuan anjing pengesan di sekitar kawasan Villa Nabila.
Begitu kuat impak kisah Mohd Izzat, sehingga Ketua Polis Johor (CPO), Datuk Mokhtar Md Shariff sendiri mengadakan sidang media untuk mengesahkan penemuannya beberapa hari selepas dia hilang.
Akhirnya diketahui bahawa Izzat tidak hilang dalam Villa Nabila… dia berada di rumah rakannya selama mana polis sibuk mencarinya dan orang ramai gempar bercerita mengenainya… khabarnya dia pun tahu mengenai usaha mencari 'dirinya yang hilang itu' melalui televisyen.
Disebabkan itu… banyak pihak tampil marah dengan Izzat… "Budak ni layak bagi penampor aje" …"Sampai jem jalan pasal budak ni…dia sibuk duduk rumah girlfriend dia lak…" dan macam-macam lagi.
Tidak kurang juga wujudnya parodi dan poster mempersendakan Izzat dan kejadian itu dengan antaranya hantu Villa Nabila mahu menyaman pihak-pihak tertentu.