KENYATAAN MEDIA - RESPON KEPADA TULISAN TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD MENARIK BALIK SOKONGAN KEPADA PERDANA MENTERI, DATO’ SERI MOHD NAJIB TUN RAZAK
1. Saya berpandangan kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengkritik dasar kerajaan dari masa ke masa sebagai sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan beliau yang kita tahu masih dan terus mengambil berat tentang hal-hal negara. Bagaimanapun, kenyataan menerusi blognya yang mengatakan beliau menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah sesuatu yang luar biasa.
2. Sebagai menteri dalam kerajaan di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Najib, saya merasakan kadangkala Tun Dr. Mahathir mungkin membuat tafsiran yang kurang tepat terhadap Perdana Menteri kita. Saya percaya Perdana Menteri sentiasa terbuka dengan pandangan pelbagai pihak dan mengambil berat setiap kritikan, terutama daripada tokoh negara seperti Tun Dr. Mahathir.
3. Setiap Perdana Menteri mempunyai gaya kepimpinan tersendiri dan secara peribadi mereka mempunyai isu-isu rakyat yang rapat dengan hati masing-masing. Malaysia sungguh bertuah kerana dianugerahkan Perdana Menteri yang sentiasa meletakkan rakyat di tempat paling atas dari zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, zaman Tun Dr. Mahathir sendiri, kemudian membawa kepada era Tun Abdullah dan kini di bawah kepimpinan Dato’ Seri Najib.
4. Melalui dasar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dikritik oleh Tun Dr. Mahathir misalnya, Dato’ Seri Najib menunjukkan keprihatinan beliau kepada permasalahan rakyat ketika kos sara hidup menjadi isu yang membara di Malaysia dan juga di seluruh dunia. Ketika Tun Dr. Mahathir menyumbang bakti sebagai ketua kerajaan dahulu (1981-2003), memang beliau mempunyai cara tersendiri untuk menangani implikasi isu kos sara hidup, tetapi mungkin persekitaran dan betapa mudaratnya isu tersebut ketika itu tidak sehingga memerlukan pendekatan seperti yang Dato’ Seri Najib perkenalkan sekarang.
5. Mengenai tuduhan BR1M membazir duit negara, persepsi tersebut adalah salah. BR1M sebenarnya merupakan cara baru pembayaran subsidi kepada yang lebih layak dan kumpulan sasar yang tepat. Apabila subsidi minyak dikurangkan, penjimatan dari subsidi digunakan untuk pemberian BR1M. Jika tidak, rakyat berpendapatan rendah akan hadapi tekanan akibat kenaikan harga minyak yang memberi kesan kepada kenaikan barangan lain. Ini merupakan langkah bijak Dato’ Seri Najib dalam memastikan kesejahteraan rakyat tidak terjejas sekaligus mengurangkan defisit negara. Tidak mungkin dasar Dato’ Seri Najib silap sedangkan Malaysia telah mencapai kadar pertumbuhan 6.4% untuk suku tahun kedua 2014 dan merupakan pencapaian pertumbuhan terbaik di kalangan negara ASEAN.
6. Bukan maknanya cara lama tidak bagus, tetapi kita wajar memperhalusi bahawa sesuatu dasar kerajaan di Malaysia juga digubal dan dipengaruhi statistik baharu, input semasa daripada para pegawai kerajaan, fakta-fakta yang diketengahkan oleh rakyat melalui parti politik dan NGO, serta mendapat sokongan rakan-rakan dalam kepimpinan kerajaan. Dalam kesemua kritikannya terhadap Dato’ Seri Najib, saya berpendapat Tun Dr. Mahathir perlu melihatnya dalam konteks yang saya nyatakan tadi.
7. Saya berharap Tun Dr. Mahathir memberi ruang dan peluang untuk Dato’ Seri Najib mengemudi kerajaan dengan caranya yang tersendiri.
8. Saya percaya mungkin teguran Tun Dr. Mahathir adalah sebagai bapa kepada anak. Kita hormat Tun Dr. Mahathir sebagai ‘bapa’. Cuma, alangkah baiknya jika teguran seorang bapa
kepada anak tidak dibuat secara terbuka dan bukan di khalayak ramai.
9. Sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera, mewakili seluruh ahli jawatankuasa dan ahli UMNO bahagian Bera, saya melahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Dato’ Seri Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO dan menyokong segala dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri selama ini.
YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
Ahli Majlis Tertinggi UMNO
Ketua UMNO Bahagian Bera
Ismail Sabri menulis :-
ReplyDelete"8. Saya percaya mungkin teguran Tun Dr. Mahathir adalah sebagai bapa kepada anak. Kita hormat Tun Dr. Mahathir sebagai ‘bapa’. Cuma, alangkah baiknya jika teguran seorang bapa kepada anak tidak dibuat secara terbuka dan bukan di khalayak ramai."
Mahathir telah menyebut dengan jelas :-
"23. Harapan saya Dato Seri Najib akan mengambil ikhtibar dari prestasinya yang buruk dalam Pilihanraya Umum ke 13. Malangnya sehingga kini tidak ternampak apa-apa perubahan dari segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya, (yang juga pendapat ramai yang datang bertemu saya) secara langsung kepada Dato Seri Najib.
24. Saya tidak ada pilihan selain dari menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu terpaksalah saya menegur."
Mungkin Ismail Sabri perlu lebih teliti bila membaca agar tidak kelihatan "kehilangan plot" sebenar, seperti Hisyam yang menyebut berkenaan MH17 sebagai justifikasi. Saya percaya tiada dalam komen Mahathir yang menyebut 'kegagalan" Najib dalam menangani MH17 ataupun MH370.
Berlapang dada lah semasa membaca serta ikhlas lah semasa memberi reaksi.
Datuk Seri Ketua Bahagian Bera, telahkah kerajaan buat kajian bagaimana BRIM dibelanjakan, ke mana dibelanjakan? Secara umum agak-agak berapa lama BRIM 650 boleh dihabiskan. Sehari? Seminggu? Sebulan? Saya percaya maksud komen Tun ke atas BRIM itu adalah beri jala atau pemancing kepada masyarakat, bukan beri ikan. Hujah Datuk Seri zaman berbeza, pendekatan berbeza boleh diterima, tapi setakat Gred B atau C+. Cubalah bagi hujah balas Gred A ataupun setidak-tidaknya A-. Satu lagi Datuk Seri Ketua Bahagian Bera, PRU 14 Datuk Seri mungkin menang di Bera, tapi duduk di Parlimen di Blok Pembangkang, sebab di banyak kerusi lain BN dan UMNO melopong...melainkan Datuk Seri dan Bahagian Bera sendiri menjadi lebih berani menegur PM merangkap Presiden UMNO. Setakat 60-70 kerusi Parlimen UMNO dalam kawasan tanah rancangan FELDA, belum jaminan menang PRU 14. Lagi pula anak-anak muda FELDA ramai yang dah berpendidikan serta berkemahiran tinggi dan lebih kritikal. Fokus pada isu yang ditegur Tun dan cari jalan untuk atasinya segera. Salah satunya kos sara hidup meningkat sungguhpun polisi gaji minimum diperkenalkan. Datuk Seri Ketua Bahagian Bera boleh main peranan lebih berkesan untuk pastikan harga ikan, ayam, sayur dan buah dan seumpamanya turun. Ni kelihatannya harga di pasar tani pun tidaklah serendah disangka.
ReplyDeleteRakyat yg peka, selalu memerhatikan dan mendapati reaksi dan respon dari ahli politik mana parti pun selalunya guna strategi mengambil serta memilih (pick and choose) serta melarikan isu (skirting the issue) bila menghadapi dan menjawab apa-apa kritikan serta teguran. Ini mengakibat para respoden kelihatan kurang mahir dan tidak memahami isu-isu yg diketengahkan. Lebih-lebih lagi, sekiranya ianya ditutur oleh mereka yg berkedudukan tinggi dalam parti dan kerajaan, maka Rakyat yg mendengar berasa hairan dan akan meragui kemampuan intelek pemimpin kita. Tapi bak kata orang barat 'it's difficult to understand something when your salary depends on NOT understanding it!'
ReplyDelete