PRK Kajang kini terpahat dalam sejarah sebagai bukti sikap tidak bertanggungjawab Pakatan Rakyat dan sikap pentingkan diri Anwar Ibrahim yang kronik.
Permainan politik Anwar nampaknya tidak punya had dan tidak mengira tempat. Anwar telah mempermainkan sistem demokrasi yang kononnya diperjuangkannya. Anwar juga telah mempermainkan rakyat Kajang yang memberi kepercayaan kepada partinya dengan menyuruh ADUN yang lama meletak jawatan tanpa sebab. Kini, kerusi tersebut cuba digantikan dengan isterinya, Wan Azizah - pastinya sebagai proksi dirinya.
Mungkin kerana itu, PRK Kajang dihadapi dalam keadaan ‘dingin’ sekali. Rata-rata, ceramah PR tidak mendapat sambutan sehangat biasa. Rakyat seolah-olah letih dan kurang berminat dengan PRK yang sebenarnya tidak perlu sama sekali. Rakyat juga mungkin terkilan dengan pembaziran yang berlaku akibat PRK ini.
Kehilangan MH370 juga merupakan faktor utama di mana PRK Kajang menjadi dingin. Jelas, rakyat Malaysia rata-ratanya jauh lebih matang dan tidak berminat dengan permainan politik yang keterlaluan apatah lagi yang sengaja diada-adakan. Tumpuan rakyat adalah pada pencarian MH370 serta nasib penumpang, krew dan keluarga mereka. Ini adalah isu besar yang sebenar, kerana ia melibatkan nyawa manusia.
Tumpuan negara asing kepada Malaysia juga menjadi topik utama di kalangan rakyat. Rata-rata rakyat merasa gusar dan tidak mampu mengelak prasangka terhadap agenda tersembunyi negara asing di sebalik bantuan yang dihulurkan.
Hanya beberapa kerat sahaja di kalangan rakyat yang berminat dengan politik berbanding isu besar lain. Mereka ini merupakan penyokong tegar Pakatan Rakyat yang melihat segala-galanya dari segi politik sempit yang berlegar di sekitar Ketua Umum mereka sahaja. Kononnya, semua yang berlaku ada kena mengena dengan Anwar, malah bencana jerebu juga adalah akibat dari ‘daulat’ Anwar.
Pun begitu, mereka ini hanya berdegar-degar di alam maya.









