Malam tadi selepas berbuka dan berterawih selesai gua mengambil keputusan untuk pusing-pusing dalam kawasan Parlimen Sungai Besar untuk meninjau kemeriahan suasana kempen pilhanraya. Sekitar jam 10.00 malam gua pun bergerak dari Pekan Sungai Besar melalui jalan dalam ke Kampung Panchang Bedena melalui Kampung Che Lias dan Taman Seri Bedena. Dari sana kereta gua terus bergerak membelah kesunyian dan kegelapan malam menyelusuri jalan tar yang semakin mengecil.
Gua terus gerak menghala ke Jalan Parit 1 Barat, Jalan Parit 2 Barat, Jalan Parit 3 Barat, Jalan Parit 4 Barat sehingga bertemu simpang tiga di Jalan Parit 5 Barat. Dalam kepekatan malam yang semakin lanjut kenderaan gua melalui jalan kampung yang sunyi sepi tambahan pula kedudukan rumah penduduk kampung yang agak jauh dan jarak-jarak antara satu sama lain. Dari pemerhatian gua setelah masuk hari kedua kempen tak nampak langsung bendera-bendera dari parti-parti yang bertanding. Mungkin enjin kempen pilihanraya masih terlalu awal. Tambahan pula baru memasuki awal Ramadan dan jentera kempen setiap parti nak berpuasa dulu.
Setelah membelah tengah-tengah sawah yang hanya ada kereta gua sebijik jer atas Jalan Parit 6 Timur gua tembus ke jalan besar Jalan Sungai Panjang ke Tanjong Malim. Di sini barulah gua nampak dalam kepekatan kegelapan malam beberapa susuk tubuh sedang berdiri di tepi jalan sambil memegang sesuatu. Dalam perasaan bercampur gaul gua cuba merapatkan kereta gua dengan kelompok lembaga tersebut. Rupa-rupanya sekumpulan anak muda jentera kempen dari BN yang sedang sibuk memacakkan bendera BN di sepanjang jalan besar ini.




