Jadilah Sahabat Kulaan...

SEWA

SEWA

TRIP

TRIP
PAKEJ TRIP KE KRABBI, HATYAI TERMURAH...

Saturday 28 January 2012

TMP 2012: Bandar Raya Ipoh Perlu Dihias Indah, Ceria Untuk Gamit Pelancong... @ZambryAbdKadir


Sebagai ibu negeri, bandar raya Ipoh sepatutnya dihias dengan indah dan ceria bagi meraikan kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2012.

Namun, keadaan berlaku sebaliknya apabila bandar raya itu seolah-olah tidak bersedia dari segi keceriaan dan pengindahan bagi menjayakan TMP 2012 yang menyasarkan lima juta pelancong melawat Perak tahun ini.

Bangunan-bangunan lama di ibu negeri Perak itu sepatutnya diperindahkan kerana banyak premis yang kelihatan masih kukuh terbiar usang begitu sahaja hingga mencacatkan pemandangan mata yang memandang.


Tinjauan Perak Today di sekitar Ipoh juga mendapati, terdapat banyak bangunan usang dan terbiar di sekitar bandar raya Ipoh yang hanya menanti masa untuk roboh.

Antara lokasi bangunan lama dan usang yang dikenalpasti ialah sekitar pekan lama iaitu deretan kedai berdekatan masjid negeri dan Padang Ipoh.

Mungkin disebabkan kerajaan negeri lebih mengutamakan promosi atau kerja menaiktaraf destinasi pelancongan terkemuka di Perak, maka soal untuk pengindahan bandar raya Ipoh terlepas pandang.

Selain bangunan warisan seperti Stesen Keretapi Ipoh dan Ipoh Town Hall, promosi produk pelancongan tempatan seperti Memory Lane dan Gerbang Malam tidak seharusnya diabaikan kerana kedua-duanya juga memiliki keunikan tersendiri sebagai daya tarikan pelancong.

Wargakota Ipoh, Khairul Azri Kassim, berkata bandar raya Ipoh mempunyai banyak tempat menarik untuk dilawati tetapi bangunan lama yang usang dan terbiar telah mencacatkan pemandangan mata yang memandang.

Katanya, walaupun TMP sedang berlangsung, beliau merasakan tiada kelainan atau perbezaan dari segi pengindahan atau keceriaan kerana bandar raya Ipoh masih kelihatan sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Saya sendiri mengalu-alukan usaha kerajaan negeri atau pihak MBI untuk memperhebatkan promosi pelancongan tetapi ia akan menjadi sia-sia sekiranya masih ada bangunan yang uzur dan terbiar."

“Lihat sahajalah deretan kedai di sekitar pekan lama Ipoh (Ipoh Old Town) di mana premis-premis kedainya memang unik tetapi tidak berseri… jika ia dicat dengan warna ceria sudah pasti ia kelihatan lebih menarik."

“Selain itu, bangunan kedai lama juga terbiar begitu sahaja tanpa sebarang usaha pemuliharaan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, masih terdapat bangunan lama yang kelihatan cantik dan ceria seperti di sekitar kawasan Little India yang kelihatan indah apabila deretan premis di situ dicat semula.

Seorang lagi warga Ipoh yang hanya dikenali sebagai Rafidah, memberitahu beliau tidak mahu promosi yang dilakukan sempena TMP 2012 menjadi sia-sia sahaja selain mengakui masih banyak kerja-kerja pengindahan perlu dilakukan di bandar raya berkenaan.

“Kita tahu jangka masa yang panjang diperlukan untuk mencantikkan lagi bandar raya Ipoh tetapi agak memalukan sekiranya promosi TMP sentiasa dihebahkan tetapi bandar raya Ipoh sendiri masih belum bersedia dan ceria untuk menerima pelancong."

“Jika tidak dicat baru sekalipun, saya berharap pihak MBI boleh mengambil inisiatif membuang pokok-pokok yang tumbuh liar di celah-celah dinding bangunan lama kerana perkara kecil seperti ini turut diambil kira oleh pelancong,” katanya.

Jelasnya, beliau tidak mahu sanak saudara yang datang dari luar Perak menganggap promosi pelancongan Perak khususnya ke bandar raya Ipoh hanyalah ‘indah khabar dari rupa’.

Bersetuju dengan pendapat Khairul Azri, beliau juga mencadangkan agar bangunan-bangunan lama di Ipoh dicat semula bagi mengindah dan menceriakan lagi bandar raya itu.

Untuk keceriaan di waktu malam, lampu-lampu hiasan katanya, boleh diperbanyakkan lagi di jalan-jalan utama ke pusat membeli belah.

“Jika bangunan dicat semula dan lampu hiasan diperbanyakkan, saya yakin suasana bandar raya Ipoh pasti akan menjadi lebih ceria tidak kira di waktu siang atau malam,” tegasnya lagi.

Sumber : PerakToday


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

The True Brothers

The True Brothers