Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Dewan Negara, Datuk S.Nallakaruppan serta syarikat penerbitan, Utusan Melayu (M) Bhd ekoran petikan ringkas yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 20 Mac lalu di muka hadapan bertajuk Anwar biseksual, tak boleh jadi Ketua Pembangkang – Nalla dan berita penuh di muka surat enam bertajuk Nallakaruppan tuduh Anwar biseksual.
Baru-baru ini Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan sebahagian besar pembelaan Nallakaruppan serta Utusan Melayu dalam kes saman tersebut dikekalkan.
Nallakaruppan dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 23 Mei lalu menyenaraikan kira-kira 10 orang termasuk isteri Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Azmin Ali, Shamsidar Taharin bagi membuktikan dakwaannya berhubung seksualiti bekas rakan baiknya itu.
Jelas Nallakaruppan, kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Anwar melibatkan kepentingan awam dan Shamsidar perlu tampil menjadi saksi bagi membuktikan kebenaran di mahkamah.
Pada masa yang sama, Nallakarupan mengecam rancangan pakatan pembangkang untuk menganjurkan perhimpunan bagi memastikan Shamsidar tidak menjadi saksi di mahkamah.