Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama berkata beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membincangkan mengenai usaha meningkatkan perkara berkaitan hak asasi manusia di Malaysia.
Dalam sidang media bersama dengan Najib sempena lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia, Obama berkata, tindakannya tidak menemui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bermakna beliau tidak mengambil berat mengenai apa yang berlaku berkaitan isu hak asasi di negara ini.
Malah, katanya, Najib mengakui kerajaannya sedang berusaha meningkatkan hak kebebasan masyarakat dan perubahan politik di negara ini.
“Dalam mesyuarat saya di seluruh dunia, saya tidak sempat menemui semua pemimpin, termasuk dari pembangkang namun ia bukan tanda saya tidak mempedulikan mereka.
“Bukan Anwar saja yang saya tak jumpa, di Negara lain yang saya pergi pun ramai yang saya tak jumpa,” kata Obama.
Pada masa sama, Obama turut mengakui AS turut melakukan usaha yang sama dalam memberi lebih kebebasan kepada rakyatnya sama seperti dilakukan Malaysia.
Sementara itu Obama turut mempertahankan tindakan kerajaan Malaysia dalam mengendalikan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, ketika pasukan mencari dan menyelamat bertungkus-lumus mencari pesawat yang dipercayai berada di Lautan Hindi.








