Jadilah Sahabat Kulaan...

SEWA

SEWA

TRIP

TRIP
PAKEJ TRIP KE KRABBI, HATYAI TERMURAH...

Friday 6 January 2012

Hasan Ali Bantah Pendirian PAS Selangor Sokong Perhimpunan Haram #bebasAnwar901???...


Tokoh kontroversi PAS, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang juga EXCO Kerajaan Selangor membantah pendirian PAS Selangor menyokong perhimpunan haram yang dirancang Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hari keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, di ibu negara Isnin ini.

Hasan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, sebaliknya berkata parti itu sudah membazirkan masa lebih tiga tahun hanya kerana seorang pemimpin, sedangkan banyak kerja lain lebih berfaedah untuk negara boleh dilakukan dalam tempoh berkenaan.

Sehubungan itu, beliau tidak akan menghadiri perhimpunan berkenaan dan mempersoalkan tindakan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Abdul Rani Osman mendahului kepemimpinan PAS pusat dalam membuat pendirian berhubung isu berkenaan.

Katanya, PAS Selangor juga dilihat begitu proaktif dan taksub terhadap perkara yang salah, manakala perkara lain yang lebih penting iaitu membabitkan agama Islam dipinggirkan.


"Jemputan kepada ahli PAS untuk sertai perhimpunan itu adalah pendapat peribadi dan bukan suara ahli PAS negeri. PAS Selangor kena betul. Kenapa Himpunan Sejuta Umat sebelum ini Dr Rani larang sertai, tetapi apabila hal yang membabitkan peribadi seorang individu dia begitu bersungguh-sungguh," katanya pada sidang media di Pejabat Jabatan Agama Islam (JAIS), di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu juga berkata rakyat, terutama mahasiswa perlu merenung semula cadangan perhimpunan berkenaan kerana ia boleh menimbulkan suasana anarki dan bahana terhadap negara.

"Saya tidak rela pakatan pembangkang dapat kuasa dan selepas itu timbul kekecohan. Saya tidak reda dengan isu ini. Orang muda perlu belajar bersungguh-sungguh dan takluk semua universiti ternama dunia, barulah dikira hebat. Mahkamah sudah beri ruang yang banyak untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 60 kali penangguhan. Kita habis berpuluh-puluh ribu jam hanya untuk isu ini."

"Kalau di negara lain seperti Korea, mereka tidak ada masa untuk fikir soal peribadi kerana mereka fikir bagaimana untuk menjalin hubungan dengan negara lain dan memajukan negara," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip bahawa semua pemimpin parti perlu menyertai perhimpunan itu kerana ia arahan kepemimpinan pusat, Hasan berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

“Saya salah seorang pemimpin di peringkat pusat dan setahu saya belum ada arahan untuk semua ahli PAS turun kecuali ia arahan daripada Pesuruhjaya PAS Selangor itu sendiri," katanya.

Beliau juga berkata, seorang pemimpin perlu bebas daripada masalah moral dan berpendapat hanya Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang layak digelar pemimpin.

Katanya, apabila memilih seseorang pemimpin, selain rekod prestasi dalam kerajaan dan peringkat antarabangsa, latar belakang keluarga mereka juga perlu diberi perhatian.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta JAIS menyiasat kesahihan ceramah pendakwah, Badrul Amin Bahron yang mengaitkan Anwar sebagai Imam Mahdi dan dimuat turun dalam laman YouTube.

Beliau berkata, JAIS perlu meneliti teks ceramah dan mendengar sendiri penjelasan Badrul Amin yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabak Bernam berhubung isu itu kerana Islam melarang umatnya mendewa-dewakan pemimpin.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

The True Brothers

The True Brothers