Hari ini negara kita dikejutkan dengan kejadian banjir yang luar biasa bukan seperti tahun-tahun sebelumnya terutama di negeri Kelantan dan Terengganu termasuk beberapa negeri lain seperti Pahang, Perak dan Perlis yang terjejas teruk melibatkan lebih 60 ribu mangsa banjir dipindahkan. Sudah tentu daripada puluhan ribu mangsa banjir yang terjejas terdiri daripada nelayan, petani, pesawah, peniaga, pemborong, peruncit, pembekal dan mereka yang melibatkan diri dalam bidang pertanian dan industri asas tani atau berkaitan dengannya. Sudah pasti dengan kejadian bencana alam seperti banjir ini memberi pelbagai kesan kepada mereka. Lantas melihat kepada suasana ini Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani Dato' Sri Ismail Sabri melalui kementeriannya telah cuba sedaya upaya membantu dan meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir ini melalui beberapa inisiatif dan bantuan segera seperti yang dinyatakan dalam kenyataan di bawah :
Kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu banjir.
Semua agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah digerakkan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara terutamanya di kawasan yang teruk di landa banjir.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Pertanian memperuntukkan RM362,000 untuk disalurkan segera kepada mangsa-mangsa.
Bantuan itu katanya, termasuklah 12,000 kampit beras (5kg setiap satu) yang bernilai RM162,000, ikan sejuk beku bernilai RM30,000, air mineral sebanyak 10 ribu botol bernilai RM10,000, telur ayam kampung berjumlah 50,000 biji bernilai RM20,000 serta RM140,000 untuk membeli barangan kelengkapan lain.
“Semua agensi di bawah kementerian seperti LPP, FAMA, NAFAS dan NEKMAT telah dikerahkan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.








