Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor menasihatkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim agar tidak terlalu ghairah menyelamatkan Rafizi Ramli dalam menyelesaikan masalahnya, dengan menggunakan wang rakyat Selangor, sebaliknya menyelesaikan dulu masalah rakyat Selangor.
Ketuanya, Ungku Salleh Ungku Jamal berkata, ini bukan perkara baru untuk menyelamatkan individu yang berkepentingan dalam PKR, sebelum ini kerajaan Selangor telah diketahui umum “menyelamatkan” Talam Corporation dan akhirnya duit rakyat telah disalahgunakan.
“Menyelamatkan Talam hingga terlebih dari harga pasaran sebanyak RM40juta, ini gimik politik Tan Sri Khalid yang sedang dilakukannya untuk melihatkan keperihatinan tapi dia terlupa rakyat sedang menderita mengangkut air seperti apa yang berlaku di Taman Putra Idaman, ini tidak pula MB kisah.
Dalam masa yang sama, apa istimewanya Rafizi Ramli, dia bukan anak Selangor pun, malah beliau telah melepaskan sebagai CEO Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor. Jadi, apa relevannya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberikan kenyataan bahawa kerajaan negeri akan membiayai sepenuhnya kos guaman Rafizi Ramli menerusi dana khas berjumlah RM5 juta di bawah Geran Selangorku?,” ujarnya mengulas tindakan kerajaan negeri yang mahu membiayai kos guaman Rafizi Ramli yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mendedahkan dokumen mengenai butiran perbankan berkaitan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) kepada dua petugas media pada Mac lalu.