SALAH satu ciri keunikan Islam ialah membentuk manusia dengan cara berhemah, penuh hikmah dan pengajaran berorientasikan tarbiah yang sempurna mengikut kemampuan manusia.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak akan membebani seseorang melainkan mengikut kemampuannya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 286)
Peristiwa yang berlaku kepada Sayyidah Zainab mengajar kita sejak zaman sebelum kedatangan Islam, pengambilan anak angkat menjadi kebiasaan. Mereka menjadikan anak itu sebagai salah seorang daripada keluarga seterusnya dianugerahkan nasab keturunan serta menyamakannya dengan ahli keluarga lain.
Anak itu mendapat keistimewaan yang sama, batas pergaulan serta sempadan pergaulan dengan ahli keluarga tidak diendahkan sedangkan hakikatnya tidak begitu.
Tatkala Allah SWT menginginkan perubahan terhadap pengambilan anak angkat dengan cara yang terbaik mengikut fitrah manusia, Allah SWT memilih Sayyidah Zainab Binti Jahsh sebagai perintis kepada proses peralihan itu.
Melalui wahyu Ilahi, Baginda memilih Zainab untuk dijodohkan dengan Zaid Bin Haritsah yang juga anak angkat kepada Baginda.
Zainab menerima keputusan Baginda selepas turunnya ayat yang bermaksud: “Tidak wajar bagi lelaki atau wanita yang beriman apabila Allah SWT sudah menetapkan sesuatu ketetapan lalu mereka membuat pilihan yang lain.” (Surah Al-Ahzab, ayat 36)
Namun demikian, berlaku ketentuan Allah dengan hikmahnya yang tersendiri sehingga mereka berpisah dan Zainab dikahwini oleh Baginda. Dengan peristiwa ini, maka lenyap kisah pengambilan dan anggapan terhadap anak angkat dengan cara yang cukup berhemah.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Muhammad itu bukanlah bapa kepada salah seorang dari kamu (Zaid), tetapi Dia adalah utusan Allah dan penutup para nabi. Dan Allah maha mengetahui segala-galanya.” (Surah Al-Ahzab, ayat 40)
Dapat dilihat di sini, anak angkat adalah orang yang asing bagi sesebuah keluarga sehingga isteri mereka dapat dikahwini oleh ayahnya sendiri, pergaulan dengan keluarga lain terbatas dan keluarga lain sebenarnya halal dikahwini oleh anak itu.
Ini hikmah yang tidak dapat dilihat oleh setengah manusia sehingga menganggap Baginda memonopoli segala-galanya sehingga mengambil isteri kepada anaknya sendiri (Zaid).
Begitu juga dalam proses pengharaman arak yang menjadi sebahagian adat jahiliah sekian lama. Arak menjadi minuman asasi bagi masyarakat pada masa itu sehingga ada antara sahabat sendiri mengumpulkan bekalan banyak ketika mereka belum memeluk Islam.
Selepas mereka dapat menerima Islam, Allah SWT dengan kebijaksanaan-Nya mengikut fitrah manusia menurunkan wahyu yang bermaksud: “Wahai orang beriman, janganlah kamu menghampiri solat ketika kamu mabuk sehinggalah kamu sedar apa yang kamu ucapkan.” (Surah An-Nisa’, ayat 43).
Menunjukkan mereka boleh mengambil arak tetapi mestilah menjauhi diri dari solat. Setelah sedikit demi sedikit sahabat dapat mengurangkan pengambilan arak, maka Allah SWT menurunkan wahyu berikutnya yang bermaksud: “Sesungguhnya minuman keras, berjudi, bertenung nasib adalah perkara keji dari amalan syaitan.” (Surah Al-Maidah, ayat 90)
Semua sahabat pada ketika itu dapat menerima hakikat ini dan meninggalkan minuman keras buat selama-lamanya. Ada yang pulang ke rumah dan memusnahkan segala simpanan arak mereka demi menyahut seruan Allah SWT.
Kempen menjauhi minuman keras adalah salah satu cara terbaik bagi mendidik masyarakat menjauhi minuman yang merosakkan ini kerana banyak perkara jenayah berlaku akibat pengambilan minuman memabukkan ini sebagai punca segala kejahatan.
Sabda Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya arak adalah ibu segala kejahatan.” Manusia akan melakukan apa saja ketika sedang mabuk. Tidak hairanlah kadar jenayah semakin bertambah kerana kesan minuman keras.
Usaha keras dan serius perlu dilakukan bagi menjayakan kempen ini kerana banyak halangan dan rintangan terpaksa dilalui termasuk pengaruh iklan dan kempen minuman ini amat kuat dalam masyarakat Islam. Apa yang penting ialah komitmen semua pihak untuk lebih dekat kepada masyarakat bagi menjayakan misi murni ini.
No comments:
Post a Comment