Jadilah Sahabat Kulaan...

SEWA

SEWA

TRIP

TRIP
PAKEJ TRIP KE KRABBI, HATYAI TERMURAH...

Sunday 29 July 2012

Betul Ker Bubur Lambuk Boleh Menjadi Perpaduan Ummah...


Ketibaan Ramadan sudah sinonim dengan bubur lambuk. Jika dahulu bubur lambuk hanya dimasak di Masjid Jamek Kampung Baru kini ia menjadi masakan dan hidangan di setiap masjid di seluruh negara.

Dalam usaha memasak bubur lambuk, kerjasama erat amat perlu kalangan pekerja yang melakukannya iaitu daripada menyiapkan bahan hinggalah masa mengacaunya. Melalui kerjasama ini membayangkan bahawa ia menjurus kepada perpaduan ummah.

Kini bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru jadi ikon pelancongan sempena Ramadan. Dikatakan bubur lambuk adalah hidangan signatur bukan sahaja penduduk Kampung Baru malah sekitar Lembah Klang.

Kebanyakan penduduk sekitar akan singgah ke Masjid Jamek Kampung Baru untuk mendapatkan bubur lambuk selain untuk beribadat di masjid itu.

Dari segi tersurat dan tersirat bubur lambuk mengandungi resipi yang tersendiri diibaratkan sebagai perpaduan ummah. Bahan asasnya beras, santan, rempah ratus dan juga garam akan menjadikan bubur lambuk sebagai makanan padu dan enak. Setiap orang mempunyai cara yang berlainan untuk memasaknya dan ada yang meletakkan daging dalam bubur lambuk.

Di Masjid An-Nur USJ 4, Subang Jaya, bubur lambuk dijadikan bahan promosi untuk memperkenalkan tiga imam muda dalam Program Imam Muda di Astro Oasis iaitu terdiri daripada Imam Muda Mohd Hafiz Khodir, Imam Muda Fariz dan Imam Muda Nasir yang memasak dan memberikan bubur lambuk kepada jemaah di masjid tersebut.

Penganjuran memasak bubur lambuk di setiap masjid bukan sahaja dapat menyatupadukan ummah malah dapat mempromosikan makanan rakyat tempatan kepada golongna pelancong dan juga dapat mendidik kalangan remaja belajar memasak bubur lambuk. Penyatuan ummah ibarat satu binaan.

Lantaran itu, umat Islam umpama satu binaan. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang Mukmin kepada Mukmin yang lain seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Justeru, apabila bubur lambuk disiarkan di televisyen pastinya bubur tersebut akan menjadi terkenal dan juga kegemaran ramai. Ternyata, bubur lambuk juga akan menjadi bubur istimewa pada setiap kali kedatangan Ramadan.

Falsafah daripada memasak bubur lambuk iaitu makanan yang dimasak secara beramai-ramai akan dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan ummah dan juga memberikan makna kepada kehidupan masyarakat yang bersatu padu melangkaui fahaman politik.

Berkaitan bubur lambuk penulis ingin berpantun:

Bubur lambuk di bulan Ramadan,
Dimasak bersama di bawah khemah;
Mari duduk eratkan perpaduan,
Jadikan selamanya ukhuwah ummah.

Lantaran itu, memasak bubur lambuk yang dilakukan oleh golongan Mukmin perlu diteruskan sepanjang Ramadan untuk mendapatkan pahala berganda dan keberkatan, serta mengeratkan penyatuan ummah dan juga mengukuhkan perpaduan masyarakat.

* DR AMINUDIN MANSOR - Penulis pengamal media. PhD Persuratan Melayu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

The True Brothers

The True Brothers