Nampaknya pengaruh jentera siber prokerajaan yang dipandang rendah selama ini kini benar-benar berubah memberi impak kepada komponen sekutu Pakatan Harapan, Parti Amanah Negara (PAN).
Terkesan teruk dengan perang saraf secara maya itu, parti serpihan PAS tersebut hari ini terpaksa merayu semua media arus perdana yang sekian lama ‘dihina’ pembangkang agar merujuk mereka sebagai Amanah bukan PAN.
Permintaan yang agak kelakar itu disuarakan oleh Pengerusi PAN Perak, Asmuni Awi ketika sidang media di bilik gerakan pejabat parti tersebut sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.
Beliau dilaporkan menegaskan kepada media tempatan supaya tidak lagi menulis nama singkatan PAN bagi lapor berita mengenai parti berkenaan yang dipercayai mungkin bimbang dengan konotasi penggunaan singkatan itu.
Namun beliau memberi alasan berlapik bahawa pihak parti itu tidak mahu panggilan akronim PAN kerana singkatan nama parti tersebut didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sebagai Amanah.
“Kami didaftarkan atas nama Parti Amanah Negara, dan singkatan kepada kami adalah Amanah bukannya sebagai PAN. Saya melihat ada kecenderungan sesetengah pihak media masih lagi sering menggunakan nama PAN.
“Saya mahu membetulkan perkara itu. Saya telahpun menghantar surat kepada Setiausaha Agung parti berhubung bantahan lembut meminta pembetulan daripada media supaya tolong merujuk kami selepas ini sebagai Amanah.
Baca: Logo Parti Amanah Kebetulan Sama Atau Memang Ciplak?
“Saya minta, perkara lalu (laporan berita dengan singkatan PAN) menjadi yang terakhir. Saya minta kerjasama daripada semua media supaya membetulkannya. Kerana ia (panggilan itu) amat mengelirukan para pengundi.
“Jika dibaca dalam media (arus perdana) adalah PAN dan tentu pengundi tempatan sendiri akan bertanya, parti mana pula yang bertanding ni?” kata Asmuni lagi sekali gus memberi mesej bahawa parti itu belum dikenali ramai.
Ironi, jika Amanah didaftarkan rasmi dengan RoS, bagaimana pun penggunaan Pakatan Harapan oleh pemimpin tiga parti pembangkang terbabit secara meluas, walhal nama itu pun tidak pernah didaftarkan dengan pihak RoS.
Setakat ini selain media yang diketahui memang totok anti-Barisan Nasional (BN) merujuk PAN sebagai singkatan Amanah, hanya agensi berita rasmi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengguna pakai Amanah.
Manakala pihak media prokerajaan BN merujuk parti itu dengan akronim PAN sebagai in-house-style atau gaya penulisan rasmi untuk pemberitaan atas pelbagai faktor termasuk lebih ringkas dan tidak ‘memakan’ banyak ruang.
Ini juga mengelak kekeliruan dengan pelbagai organisasi lain seperti Amanah Saham Nasional Berhad, Amanah Ikhtiar Malaysia dan badan bukan kerajaan yang diselia penulis blog ternama Raja Petra Kamaruddin, AMANAH.
Penggunaan akronim lazimnya ditentukan sendiri pihak pengurusan organisasi media tersebut seperti PAS, bukan PIS merujuk Parti Islam Se-Malaysia serta UMNO, bukan PKMB untuk Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.
Situasi ini turut dapat dilihat ketika Pilihan Raya Negeri ke-11 di Sarawak bulan lalu apabila Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, tunjang komponen BN di Bumi Kenyalang itu disebut PBB dan bukannya PPBB. – Mynewshub.cc/HAA
#PRKKUALAKANGSAR
No comments:
Post a Comment